Wednesday 7 March 2012

LANGSUIR DI PULAU INDAH.


Hari sudah melangkah ke petang, sebaik selesai menunaikan fardhu zohor dia bergegas ke belakang rumah. Persediaan belum dibuat, sedangkan bila-bila masa dari sekarang bapa saudara nya akan sampai. Hafiz, 25, lebih senang dengan panggilan Apis menceritakan mereka sudah sepakat untuk pergi memancing di Pulau Indah. Cuti persekolahan kali ini dimulakan dengan aktiviti yang memang di minatinya semenjak kecil lagi, memancing.
"Assalamualaikum...! Apis!."
"Ahh.. pakcikku dah sampai" bisik hatinya.
"Dah siap ke belum?" laungnya lagi.
"Waalaikumussalam. Sini pakcik! Dah siap dah."
Setelah memeriksa semua keperluan, mereka berangkat meninggalkan perkarangan rumah. Empat batang joran bersama keperluannya seperti mata kail, batu ladung dan sebagainya ada dibawa bersama.
Memang sudah menjadi kebiasaan
"Kita cari umpan dalam perjalanan nanti", kata pakcik.
"Okey", kataku sepatah. "Cantekkkkk," hatiku pula bersuara. Perjalanan melalui lebuhraya agak membosankan. Aku menghidupkan radio bagi menghilangkan suasana sunyi. Pakcik terus memandu dengan tenang.
"Yeaaa... kita bersama lagi petang ini dengan lagu pembukaan yang digilai ramai sekarang, Isabella...".
Suara juruhebah kesukaan ramai, Jond, berkumandang di udara. Aku juga salah seorang peminat setianya. Persembahannya memang hebat. Aku melayan perasaan sendiri. Pakcikku bersiul kecil mengikut rentak lagu yang sedang berkumandang. Aku ikut terhibur. Selang beberapa minit, pakcikku menghentikan kereta di bahu jalan. "Ada orang jual umpan tu. Mari kita tengok." kata pakcikku.
Sebaik selesai urusan membeli umpan, kami meneruskan perjalanan. Kami hanya memerlukan lebih kurang setengah jam sahaja untuk sampai ke tempat tujuan. Kehijauan pepohon bakau melenyapkan terus keletihan. Alangkah cerianya beburung berterbangan bebas. Terlupa seketika bahawa aku akan menduduki peperiksaan PMR tak lama lagi.


"Meh sembahyang asar dulu."
Aku mengambil wudhuk dan kami berjamaah. Selesai berdoa, kami mengambil joran masing-masing dan mula memasang mata kail. Aku yang sudah biasa dengan joran dan kail, tidak berasa kekok lagi. Semuanya aku buat sendiri. Kelihatan beberapa orang sedang leka dengan kail masing-masing. Ada juga yang sekadar menonton. Zuuppppp... Aku melepaskan tali pancing. Kami mula menunggu, setelah semua joran dipasang. Moga-moga kami berjaya hari ini, insya Allah.
Matahari sudah mula terbenam, namun joran kami masih belum terusik. Sesudah beberapa kali memasang umpan, hanya riak halus air yang kelihatan. Kami ambil keputusan untuk bersolat dahulu. Sesudah solat, kami makan nasi bekal yang disediakan oleh ibu di rumah tadi, sambil sedia untuk bertindak andainya pancing terusik. Sesudah makan, kami kembali tumpukan perhatian kepada pancing.
"Isy... kenapa tak ada sekor pun naik ni?", bisik hati aku. "Belum rezeki agaknya..."
Ketika aku asyik memerhatikan permukaan air, mataku tertumpu ke arah sesuatu yang kelihatan seperti cahaya, kira-kira 5 meter dari tempat aku duduk. Aku mula memerhatikan objek tersebut yang berkelakuan seperti seekor pepatung yang seringkali kelihatan bermain-main di permukaan air. "Apa tu aaa...? Kalau pepatung takkan cerah sangat cahayanya tu." Namun kata-kata itu tidak aku tuturkan.
Cahaya tersebut semakin pudar dan dengan perlahan terbentuk suatu objek lain yang sesunggunya menyebabkan aku tergamam. Jelas di hadapanku, kelihatan satu lembaga berbentuk kepala. Mukanya hodoh dan berambut panjang mengurai. Aku mula menggigil, tapi mulutku benar-benar terkunci. Pakcikku yang tadi berada tidak jauh dariku kini sudah hilang. Aku berasa amat takut. Lembaga tersebut menggebang-gebangkan rambutnya seperti sayap burung dan memandang ke arahku. Matanya yang merah membuatkan aku semakin takut.
Tiba-tiba aku rasa seluarku basah. Serentak dengan itu, bahu aku ditepuk dari belakang.
"Apis! Apis oii...! Kau tengok apa tu?"
Mulutku cuba untuk-untuk berkata-kata tapi tak berdaya. Mataku tetap memandang ke arah lembaga tersebut yang kelihatan semakin kabur. Seketika kemudian, ia lenyap sepenuhnya. Aku tetap tak boleh bercakap, walaupun aku sedar dengan apa yang berlaku di sekelilingku. Pakcikku terus memanggil-manggil namaku. Semakin lama aku rasa semakin lemah dan akhirnya aku pengsan.
Keesokannya, aku mula sedar. Aku berada di rumah dan ibuku berada di sebelah. "Mana pakcik?" spontan aku bersuara. "Pakcik ada kat luar tu...", ibuku menjawab. Aku rasa badanku lemah, tapi aku masih boleh melangkah perlahan-lahan ke serambi rumah. Pakcikku yang sedang leka menghembuskan asap rokoknya, lantas membetulkan duduknya apabila aku bersila berhampiran dengannya.
"Kau kena sampuk semalam agaknya". Pakcikku bersuara sambil tergelak kecil. Aku cuma mendengar apa yang diceritakannya. Katanya, dia lihat aku seolah-olah dipukau sesuatu dan langsung tak hiraukan panggilannya. Dia terus mengangkat semua joran dan mengemaskan barang. Aku kemudiannya didukung masuk ke kereta dalam keadaan kejang, seperti terkena kejutan elektrik.
Aku tak dapat huraikan sepenuhnya bentuk lembaga tersebut kerana setiap kali teringat, aku akan berasa takut. Sehingga ke hari ini, aku tidak berani memancing pada waktu malam. Mungkin aku dah kena fobia agaknya.

KISAH MISTERI PEMANDU TEKSI.

Pengalaman hampir 15 tahun membawa teksi telah membuat dirinya ibarat lali dengan bermacam perkara yang menimpanya. Malam jam dimeter teksi nya menunjukkan pukul sembilan setengah malam. Malam itu dia menghantar seorang gadis ke Shah Alam, oleh kerana kesian melihat gadis itu berseorangan seperti orang yang hilang arah.
Beliau yang hanya mahu dikenali sebagai Yunus, 39, adalah seorang persara tentera. Dia tidak menyangka malam itu dia akan diduga dengan kejadian yang tidak pernah difikirkan akan berlaku pada nya.Sewaktu dalam perjalanan mengha ntar gadis itu seperti biasa dia akan melalui Lebuhraya Persekutuan. Setelah selesai menghantar gadis itu ke Shah Alam, dia mengambil keputusan untuk pulang sahaja kerana hari pun dah jauh malam.
"Saya pulang dengan melalui jalan yang sama, oleh kerana saya fikir tidak lagi mengambil penumpang jadi saya tak la tergesa-gesa pulang dan hanya memandu seperti biasa. Tiba-tiba ada seorang lelaki yang cuba menahan teksi saya. Jadi saya pun memberhenti kan teksi dan lelaki itu berkata yang dia mahu ke Ampang Jaya, kebetulan saya pun memang menghala ke sana kerana saya pun menetap di Ampang juga. Saya berasa kesian kerana hari dah lewat malam dan kebetulan saya pun ke arah yang sama, jadi saya pun tumpangkan lelaki tu" Ujar Yunus ketika diwawancara.
Sambung Yunus lagi, lelaki itu memberitahu yang dia baru pulang dari kerja di salah sebuah kilang di Shah Alam dan dia kena 'overtime' jadi sebab sudah tiada bas terpaksa lah dia jalan kaki balik rumah. Kebetulan dia nampak teksi yang dipandu Yunus dan terus menahannya. Malam tu banyak lampu jalan tidak berfungsi. Manakala rumah lelaki itu jauh ke dalam dan harus melalui sebuah perkampungan setinggan yang tidak mempunyai lampu jalan.
"Dah la cermin tingkap teksi kena bukak sebab penghawa dingin tiba-tiba rosak waktu tu, jalan depan sikit baru la ada lampu tu pun malap-malap" Ujar Yunus sambil menggeleng-gelengkan kepala nya.
Menurut Yunus lagi, setelah menurun kan lelaki itu dia pun terus beredar dari situ kerana hatinya mula rasa sesuatu yang kurang menyenangkan. Dengan tidak semena-mena bumbung teksi nya berdentum kuat seperti ada pokok yang menimpa teksi nya. Terus dia memberhenti kan teksi nya dan keluar memeriksa apa yang telah berlaku. Namun setelah diperiksa nyata tiada apa pun terjadi, malah bumbung teksi nya tidak mengalami sebarang kerosakan.
"Bila saya nak masuk ke dalam teksi saya semula, tiba-tiba datang angin bertiup kencang ke arah saya. Hampir terjatuh jugak la saya. Cepat-cepat saya masuk ke dalam teksi semula" kata Yunus.
Menurut Yunus, selepas itu dia terus memandu teksi nya pulang dan tidak langsung berhenti walaupun ada yang cuba menahan teksi nya. Katanya lagi, mulai saat itu dia tidak berani lagi untuk memasuki kawasan itu lagi dan berharap kejadian itu tidak akan menimpa dirinya lagi.

Tuesday 6 March 2012

NAMPAK LEMBAGA BERAMBUT PANJANG.

Hayati Hasan, 31, menceritakan kisahnya sewaktu dia belajar disalah sebuah Universiti di Kedah. Kisah ini berlaku ketika dia berada di tingkatan satu. Ketika itu dia tinggal di asrama. Waktu itu jam hampir menunjukkan 12:00 tengah malam. Tapi malam tu dia rasa sedikit gelisah. Entah apa puncanya, tak dapat dipastikan. Dia cuba pejamkan mata, tapi tetap tidak berjaya. Akhirnya, lebih setengah jam berhempas-pulas, kelopak matanya berjaya juga dirapatkan.
Tak lama kemudian, dia dikejutkan oleh suatu bunyi aneh yang agak kuat. Bunyi sebegitu tak pernah dia dengar sebelum ini dan dia cuba pastikan arah datangnya bunyi tersebut. Seketika kemudian dia tergamam dan berbantukan cahaya samar-samar dari kaki lima dorm, kelihatan satu kepala tanpa badan sedang menyikat rambut betul-betul di atas katil bersetentang dengan katilnya. Rambutnya panjang mencecah siling. Dalam separuh sedar tu, dia cuba mengejutkan rakannya yang sedang tidur di katil sebelah.
"Ina! Ina! Ina..!". Ina tersedar.
"Apa hal kejut aku tengah sedap tidur ni?" ngomel Ina sambil menggenyeh matanya. Tanpa memandang ke arahnya, dia memuncungkan mulutnya. "Tengok tu."  Ina memandang ke depan, dan sesaat kemudian memandang ke arahku semula.
"Takde apa pun! Engkau mengigau la... Dahlah, tidurlah! Aku ngantuk ni." Ina tak pedulikan kata-kata nya, dan terus menarik selimutnya semula. Dia berasa takut dan makhluk itu terus menyikat rambutnya. "Semakin kuat sikatannya, semakin kuat pula bunyinya. Aku betul-betul tak tahu nak buat apa. Aku cuba nak kejutkan Ina sekali lagi, tapi kali ni mulutku seolah-olah terkunci.  Aku memusingkan badan. Sambil meniarap, aku memekup telinga dengan bantal. Aku takut. Bunyi tersebut semakin kuat" ujar yati.
Selang lima minit kemudian, bunyi tersebut semakin perlahan, dan akhirnya terus lenyap. Yati masih tak berani pusingkan kepalanya, manalah tahu tiba-tiba makhluk tu dah terpacul depan nya.
"Tiba-tiba suasana sekeliling menjadi hingar. Ruang dorm yang tadinya gelap, kini terang benderang. Aku lihat ada makhluk di kanan kiri aku. Ada yang bawa baldi dan ada yang bawa tuala serta berus gigi.
"Bangun Yati oiiii! Mandi. Sembahyang subuh." Aku mengangkat bantal yang memekup telinga, dan dengan perlahan aku bangun lalu ke hujung katil sambil mataku tak berkelip memandang ke katil depan. Apa yang aku nampak? Tak ada apa, melainkan suatu lakaran di dinding yang tak pernah aku nampak sebelum ni! 

DIANA TAKUT PANDANG BELAKANG.



Diana Razali, 29, seorang gadis manis yang berasal dari Ipoh tapi sudah lama menetap di Kuala Lumpur, seorang yang peramah dan sentiasa tersenyum. Malah sewaktu diwawancara, senyuman nya sentiasa terukir walaupun adakala dahi nya berkerut sedikit ketika menceritakan pengalaman yang pernah dilalui nya dulu. Menurut Diana, peristiwa itu berlaku sewaktu dia pulang dari menziarahi makcik saudara nya di Rawang.
"Diana dalam perjalanan pulang, waktu itu jam sudah pukul 2.30 pagi dan ketika itu sy memandu bersendirian. Pada mulanya Diana ditemani oleh adik, tetapi dia mengambil keputusan untuk tinggal disitu dan menemani makcik yang masih kurang sihat" ceritanya memulakan bicara.
"Diana ni kalau dah sorang-sorang dalam kereta memang suka pasang radio kuat-kuat, salah satu sebab nya saya ni penakut sikit. Apalagi Diana pun menyanyi la kuat-kuat supaya tak la rasa takut sangat” kata Diana sambil tersenyum.
Menurut Diana, sedang dia asyik ‘melalak’ didalam kereta tiba-tiba dari jauh mata nya tertumpu ke arah suatu kelibat seakan-akan seorang wanita berpakaian pengantin putih sambil memegang payung. Wanita itu menghulurkan tangan memberi isyarat seolah-olah ingin menumpang kereta nya dan dia pun memperlahan kan kereta kerana mungkin wanita itu dalam kesusahan dan amat memerlukan bantuan.
“Memang Diana nampak jelas raut wajah wanita tu, wanita itu berketurunan cina berkulit putih dan cantik. Waktu tu Diana tak la fikir apa-apa sangat sebab Diana memang berniat mahu menolong. Diana memang nak berhenti masa tu, tapi oleh sebab terleka memerhati kan wajah wanita tu sampai tak perasan yang kerata dah terlajak ke depan sikit dari tempat wanita tu berdiri. Diana pun cepat-cepat menoleh kebelakang, tapi wanita tadi dah tiada. Pelik juga mana pergi nya wanita tadi, heran juga sebab Diana Cuma terlajak sedikit saja dan tak mungkin boleh ghaib macam tu” sambung Diana lagi.
“Diana pun cuba-cuba la jenguk keluar, mana la tahu kalau-kalau ternampak kelibat wanita tadi. Kepala asyik berfikir kemana pula pergi nya wanita tadi, ada la dalam lima minit berhenti disitu. Tiba-tiba Diana dikejut kan oleh bunyi hon dari sebuah kereta yang kebetulan lalu dikawasan tu, terus badan Diana seperti terkena renjatan elektrik. Mana tidak nya waktu tu hati Diana ni terus diselubungi perasaan takut yang amat sangat. Macam nak menangis waktu tu” kata Diana lagi.
Sambung Diana lagi, dia tidak teragak-agak dan terus memecut kerata nya meninggal kan tempat itu. “Alangkah takut nya Diana bila memikirkan perkara sebenar yang telah berlaku, sepanjang perjalanan tu Diana tak berani langsung pandang ke belakang. Yelah takut-takut wanita tu ada pulak duduk di tempat duduk belakang. Diana terus memandu sampai ke rumah” cerita Diana sambil masih tersenyum menamatkan cerita nya.

Monday 5 March 2012

KEPALA ATAS KUBUR.

CHERAS, zaman kanak-kanak memang seronok apatah lagi sewaktu proses membesar. Mandi sungai, main hujan serta main aci nyorok memang tidak akan lekang dari rutin sewaktu kanak-kanak. Tapi berbeza dengan seorang lelaki ini, zaman kanak-kanak nya tercalit satu peristiwa seram yang jarang berlaku kepada kanak-kanak lain.
Razif Ahmad, 36, yang lebih terkenal dengan panggilan Abang Ajib menceritakan pengalaman nya sewaktu mengikut Ibu dan Ayah nya ke surau.
"Masa kecik-kecik dulu saya selalu ikut abah pergi usrah, kadang-kadang pergi dekat dan kadang-kadang jauh. Sebagai anak yang baik saya ikut la. Bagi sesiapa yang tak tau, usrah tu macam perjumpaan la dan dalam perjumpaan tu, macam-macam perkara diperbincangkan, terutamanya berbentuk ilmiah" Kata Abang Ajib memulakan cerita.
Menurut Abang Ajib perjumpaan begini sebenarnya menggalakkan pengeratan silaturrahmi, selain satu cara menyampaikan ilmu.
"Satu hari tu macam biasa, saya ikut abah dan hari itu kami tak naik motor. Kerana mak aku ikut sekali, kami berkereta malam tu. Sebenarnya, sebelum tu kami pergi Melaka. Dalam perjalanan kami balik tu, singgah la kat tempat biasa sebab abah saya memang ada usrah malam tu. Kebetulan pulak, ada banyak kereta yang dah parking tepi jalan dekat surau tu.
"Ada satu ruang kosong kat tepi jalan, sebelah dengan kawasan kubur. Abah saya letak kereta kat situ, saya dan mak tak keluar sebab cuma ada setengah jam je lagi majlis tu nak bersurai. Kami sampai lewat sebenarnya, mak saya suruh kunci semua pintu kereta. Selepas tu, saya pandang ke luar tingkap sebelah kiri. Ada banyak kubur kat situ, waktu itu saya dan mak kat dalam kereta dan masing-masing buat hal sendiri. Mak diam saja kat depan, saya di belakang pun tak buat apa, cuma mata je melilau ke seluruh kawasan kubur tu" cerita Abang Ajib panjang lebar.
Menurut nya lagi, disitu terdapat banyak pokok pisang dan tidak semena-mena mata nya terpaku ke salah satu kubur berhampiran. Kubur tu terletak lebih kurang 3 meter saja daripada pandangan nya.
Mak...! Mak...! aku tak menyahut. Aku, nak kata takut tu tak jugak sebab aku tak nampak sepenuhnya benda tu, cuma samar-samar je. Tapi, dalam samar-samar tu pun, aku masih dapat mengecam. Aku nampak semacam kepala orang sedang memandang tepat ke arahku! Letaknya di atas kubur, sebelah batu nesan. "Makk..." Aku panggil mak, tapi mak diam jugak. Aku dah mula rasa nak nangis, tapi tak terkeluar. Apa yang aku buat, cuma pandang aje kat kepala tu. Sekarang memang aku yakin dengan apa yang aku nampak. Kepala tu pulak seolah-olah senyum kat aku.
Tok! tok! tok!. Aku terkejut tak terkata. Rupanya abah dah sampai, suruh bukak kunci pintu. Mak aku yang bukakan, dan aku berpaling semula ke arah kubur tu. Kepala tu masih ada. "Mak.. Abah.. tengok tu!", sambil aku tunjuk ke kubur tu. Mak abah aku tengok ke situ. "Apa benda ada kat situ?", tanya abah. "Tak nampak ke? Ada kepala orang kat situ". Aku berpaling, pandang abah aku. Dia beriya-iya cari muka orang yang aku kata tu. Mak pun sama. Aku berpaling semula ke arah kubur tu. Tapi... aikkk! dah hilang! Kepala tu dah tak ada... macam biskut pulak. Aku tak nampak apa-apa lagi. "Dah hilangla abah. Tadi ada... betul...". Aku takkan nak bohong abah aku pulak, sedangkan aku ni memang seorang anak yang baik, yang tak reti langsung nak berbohong. "Alaa... takde apa. Saja along nampak je tu. Takde apa. Along ngantuk tu kot." Abah aku mungkin taknak aku berasa takut, sebab tu dia cakap gitu. Aku memang tak takut pun...! Tapi itu cuma cakap kat mulut je la kan... dlm hati, tuhan saja yang tahu.
Bila dah sampai kat rumah, aku tanya mak, kenapa dia tak menyahut aku panggil tadi. Mak kata dia tertidur laaa... Alaahai, kesian mak aku. Dia penat agaknya. Takpela. "Tapi betul ke mak tak nampak kepala tu tadi?". "Mana ada... takde apa pun. Kubur tu memang la ada...". Entah. Aku diam je. Tak lama lepas tu, aku dah lupa sebab apa, aku singgah kat surau tu waktu zohor. Senyap-senyap, aku pergi semua ke tempat abah parking kereta hari tu. Aku perhatikan betul-betul. Aku tak nampak kepala, tapi aku nampak ada huruf nun besar kat kubur tu. Alaa... kan sesetengah orang ada pasang macam dinding kubur yang warna putih tu... tapi sekarang dah kurang dah kan. Ada tertulis ayat kat dinding tu, hujung ayat tu ada huruf nun. Aku dah lupa ayat apa yang tertulis kat situ. Aku pergi panggil abah, dan tunjukkan kubur tu. Haahahaha... dia gelakkan. "Kan abah dah kata, takde apa-apa. Along nampak huruf nun tu je hari tu...". Sebagai anak yang tak melawan mak bapak, aku diam je. Tapi dalam kepala aku, dah ada jawapan. Kalau aku nampak huruf nun, macam mana dia boleh naik bertenggek atas kubur? Dah tu senyum kat aku pulak tu... Nun tu duduknya kat dinding kubur, bukan atas kubur! Sekarang aku tak tinggal kat bandar tu lagi. Ikut abah aku pindah. Aku ni kan setia, ikut abah aku... Tapi sekali-sekala ada jugak aku ke sana. Kali terakhir, lebih kurang sebulan yang lalu. Secara spontan aku akan terpandangkan kubur tepi parit tu setiap kali aku lalu jalan tu, walaupun sekarang aku dah pandu kereta sendiri.

PERCUTIAN YANG MENYERAMKAN.

Berdiri diberanda appartment sambil meneguk segelas air yang terhidang diatas meja. Memang mengasyikkan duduk sambil memerhatikan matahari yang sayu terbenam di ufuk timur. Hembusan angin Selat Melaka yang mampu membuatkan fikiran seseorang itu melayang. Itulah yang dapat digambarkan Qistina Husin, 26, sewaktu diwawancara oleh penulis mengenai kisah pengalaman misterinya. Dengan raut wajah yang comel serta perwatakan nya yang ceria dan agak keanak-anakkan, memang tidak siapa akan menyangka yang gadis comel ini pernah mengalami satu pengalaman seram yang menarik minat penulis untuk menulis kisah nya dan dikongsi dengan semua pembaca Media Terkini. Kisah nya berlaku sewaktu dia bercuti bersama dua orang teman baiknya iaitu Farah dan Ziera dipantai Teluk Kemang 5 tahun lepas.
"Masa tu Farah dan Ziera sedang leka menonton televisyen, maklum lah hari pertama kami tiba disana" kata Qiss memulakan cerita.
"Sememang nya memang dah lama kami semua merancang untuk pergi bercuti, jadi bila ada cuti panjang memang kami tak akan lepaskan peluang. Sewaktu saya sedang asyik memerhatikan pengunjung yang masih mandi manda dipantai, tiba-tiba terlintas seorang wanita yang berpakaian serba putih berjalan seorang diri disepanjang gigi pantai itu.
"Dari jauh saya cuba memerhatikan wajah nya namun tak berapa jelas, maklum lah hari makin gelap waktu tu. tapi apa yang pasti wanita itu mungkin dalam lingkungan 20an dan rambut nya lurus sambil beralun ditiup angin" ujar Qiss lagi.
"Apa yang pelik tiada sesiapa disitu seolah-olah yang perasan kehadiran wanita itu. Saya terus memerhatikan nya sehingga lah dia lenyap disebalik sebatang pokok. Terus saya tersentak, mana perginya wanita tadi? Bingung saya memikirkan bagaimana wanita itu boleh ghaib bergitu saja. Selepas tu baru saya perasan yang sebelum wanita itu ghaib, saya terlihat seolah-olah terawang-awangan diudara dan kaki nya sedikit pun tidak menjejak permukaan pasir" sambung Qiss dengan panjang lebar.
Menurut Qiss, ada satu kejadian yang berlaku sekitar jam 10.30 malam pada malam terakhir mereka disana. Waktu itu mereka baru pulang dari makan malam, tiba-tiba mereka melihat ada seorang wanita berdiri betul-betul didepan pintu bilik mereka. Menurut nya lagi, Ziera ada memberitahu sebelum mereka keluar tadi dia memang ada melihat seorang wanita berjalan melintas bilik mereka. Tapi oleh kerana sedang sibuk bersiap-siap mahu keluar, dia mengalihkan pandangan nya sebentar. Tapi setelah menoleh kembali dia mendapati wanita itu telah tiada.
"Rupa-rupanya bukan saya dan Ziera saja yang melihat wanita itu, Farah pun ada pernah melihat kelibat wanita itu. Farah kata yang dia ada melihat kelibat seorang wanita seolah-olah melayang-layang dan terus menembusi dinding banggunan. Oleh kerana takut dan tidak mahu merosakkan percutian yang telah dirancang sekian lama itu dia mengambil keputusan untuk merahsiakan nya dan tidak memberitahu kami berdua.
"Memang seram kami waktu itu dan malam itu kami bertiga langsung tak boleh lena, yelah takut juga kalau-kalau wanita itu tiba-tiba muncul dalam bilik kami pula. Tapi mujur lah malam itu adalah malam terakhir kami disitu dan keesokkannya pagi-pagi lagi kami dah daftar keluar" kata Qiss.
Menurut Qiss sampai sekarang mereka tidak mengetahui siapakah wanita itu dan mereka cuma berpendapat mungkin wanita itu semasa hidup nya telah ditimpa kecelakaan dikawasan pantai itu.
Sambil tersenyum Qiss memberitahu selepas kejadian itu jika mereka ada mahu merancang untuk bercuti lagi mereka tidak akan bercuti disana lagi.

NAFASNYA SEPERTI SEEKOR KERBAU JANTAN!!!

CHANGKAT, nama sebuah kampung yang terletak di Gombak pernah digemparkan dengan pelbagai cerita-cerita seram dan salah satu nya dialami oleh seorang pemuda yang pada asal nya kurang mempercayai perkara-perkara sebergitu. Zaki, 36, tinggal disebuah rumah bujang yang terletak jauh dihujung kampung, dia yang tinggal berseorang tidak pernah mengalami sebarang perkara aneh dalam hidup nya. Jauh sekali untuk mempercayai wujud nya hantu atau lembaga, kerap kali dia akan menidakkan cerita-cerita berkenaan hantu yang diceritakan kepada nya.
"Dulu saya ni memang tak akan percaya bila orang bercerita tentang hantu-hantu ni, bukan sebab apa cuma saya tak pernah tengok benda-benda ni depan mata. Pernah sampai satu masa tu saya pernah bercakap besar yang kalau benda-benda ni wujud, saya mintak sangat benda ni muncul depan saya" Ujar Zaki memulakan cerita.
"Maklum lah waktu itu saya ni dikira 'hero' kampung, jadi ego saya masa tu tinggi. Pernah sekali tu saya ditegur oleh seorang tua yang saya tak kenal, katanya saya jangan terlampau bercakap besar nanti dah kena betul-betul baru tahu. Terkejut juga saya bila ditegur macam tu" Ujar Zaki lagi.
Menurut Zaki, malam itu seperti biasa setelah pulang dari kerja dia bercadang untuk berehat dirumah dan tidak melepak dengan kawan-kawan nya seperti selalu. Waktu itu jam didinding telah menunjuk kan pukul dua setengah pagi dan oleh sebab kepenatan berkerja tadi, dia tanpa sedar tertidur diruang tamu. Setelah lena dibuai mimpi tiba-tiba dia terdengar seperti ada orang sedang mandi di dalam bilik air rumahnya, sedangkan dia tinggal bersendirian.
"Saya memberanikan diri untuk meninjau keadaan dibilik air, walaupun waktu tu perasaan takut sudah mula menular dalam hati ni. Saya tak pula nampak sesiapa yang berada dalam bilik air tapi apa yang menghairankan saya lantai bilik air tu basah, seperti telah digunakan.
Tidak lama selepas tu saya terdengar pula bunyi seperti ada orang tengah membasuh. Sekali lagi saya pergi periksa namun masih tak nampak sesiapa pun" ujar Zaki.
Menurut Zaki, dia mengambil keputusan untuk mengambil wuduk untuk melakukan sembahyang sunat dua rakaat. Sewaktu dia sedang mengambil wuduk, satu percikkan air telah terkena bahagian belakang nya sehingga basah. Dia terkejut dan lantas berlari keluar, serentak dengan kejadian itu bekalan elektrik rumah nya tiba-tiba terputus.
Menurut nya lagi,  dalam keadaan gelap itu dia meraba-raba mencari lilin dan menghidupkan nya. Ketika itulah keimanan betul-betul tercabar apabila tiba-tiba dia terasa seperti ada sesuatu atau seseorang berdiri betul-betul di belakang nya, sambil terdengar bunyi nafas yang merengus keras seperti nafas seekor kerbau jantan yang sedang marah.
"Saya benar-benar tidak menyangka kejadian itu akan terjadi kepada saya, waktu tu habis seluruh badan saya menggeletar dengan bunyi nafas yang menyeramkan tu" sambung Zaki.
Mengakhiri cerita nya, Zaki memberitahu yang dia tidak akan sesekali melupakan kejadian malam itu dan sampai sekarang dia masih tak tahu apa sebenarnya yang berdiri dibelakangnya malam itu. Tetapi walau bagaimana pun Zaki tetap bersyukur kerana dia tidak diapa-apa kan malam itu dan masih hidup untuk menceritakan cerita ini kepada semua.

Sunday 4 March 2012

MISTERI LORONG SUNYI.

SELAYANG, Kamal Afandi, 37, pada mulanya memang sukar untuk mempercayai cerita-cerita mengenai hantu, makhluk halus, ghaib dan sebagainya. Kadang-kadang dia membantah rakan-rakan apabila mereka bercerita tentang kisah-kisah pelik atau misteri. Bukan kerana dia takut tetapi kerana dia memang tidak mempercayainya.
Tetapi kejadian tiga bulan lalu mengubah pendirian nya. Dia yang lebih mahu dipanggil Kamal, akhirnya terpaksa mengaku bahawa kisah-kisah seram, ghaib dan makhluk halus ini memang wujud di dunia ini. Memang kejadian itu begitu sukar untuk dia lupakan, bahkan masih segar dalam ingatannya.
"Kejadian yang amat menakutkan tu berlaku di satu lorong sunyi yang terletak tidak jauh dari kilang tempat saya bekerja. Lorong sunyi tu menjadi laluan bagi saya setiap kali pulang dari tempat kerja" kata nya sambil memulakan ceita.
Kamal sebenarnya sudah lama menggunakan lorong sunyi tersebut. Boleh dikatakan hampir empat tahun dia menggunakan lorong itu. Tidak pernah dia terserempak dengan sebarang makhluk ghaib atau aneh.
"Selama ini rakan-rakan saya selalu menceritakan tentang ada orang yang pernah ternampak dengan puntianak, hantu raya, hantu bungkus di kawasan tu. Dah macam-macam cerita seram yang saya dengar, tapi saya tetap lalu ikut lorong sunyi itu" kata nya.
Sebenarnya Kamal tidak mempunyai pilihan. Lorong sunyi itu adalah jalan pintas baginya, sama ada untuk ke tempat kerja atau pulang ke rumah. Kamal bekerja sebagai seorang penyelia di sebuah syarikat penghantaran. Disebabkan waktu kerjanya yang tidak tentu masa menyebabkan ada sesekali dia terpaksa pulang lewat malam disebabkan harus menyiapkan kerjanya terlebih dahulu sehinggakan kadang kala sehingga 1 atau 2 pagi.
"Dulu jalan sunyi tu memang menjadi laluan ramai pekerja kilang, kerana kawasan itu dekat dengan kawasan perindustrian. Tetapi sejak setahun dua kebelakangan ni, pekerja-pekerja kilang dah jarang menggunakan lorong tersebut berikutan tersebarnya cerita hantu puntianak dan makhluk halus yang menyerupai budak kecil" sambung nya.
"Bagi saya biarpun orang lain tidak berani menggunakan lorong sunyi tu, tetapi saya  tetap ikut jalan tu. Sehinggalah pada suatu malam, selepas saya habis bekerja. Saya terus pulang ke  rumah, tetapi dalam perjalanan pulang sebelum sampai lorong sunyi tu saya singgah sekejap di warung mamak bersama dua orang kawan saya" kata nya lagi.
Menurut Kamal lagi, jam di tangan sudah mencecah pukul 12.45 malam. Kebetulan malam itu adalah malam Jumaat dan dua orang rakan nya tidak pulang melalui lorong sunyi itu. Walaupun diajak oleh nya, mereka tetap enggan melalui lorong tersebut. Tinggallah dia seorang yang terpaksa melaluinya kerana tidak mempunyai pilihan lain.
"Kalau saya ikut jalan utama, jarak perjalanannya lebih jauh untuk sampai ke rumah.  Mahu tidak mahu saya terpaksa jug lah melalui lorong itu. Waktu saya dalam perjalanan pulang, hati saya tiba-tiba berdebar. Mata saya melilau menjeling kiri kanan lorong, bila sampai je di pertengahan lorong tu saya tersentak kerana ada seorang wanita jelas kelihatan di depan saya" ujar nya lagi.
"Saya berhenti sekejap, hati dan perasaan saya mula menggambarkan apa yang pernah saya dengar sebelum ni dan mahu tak mahu saya kena kuatkan juga semangat ni. Bila je langkah saya makin dekat dengan wanita tu, hidung saya tiba-tiba dihidangkan dengan bau yang cukup wangi.
"Sepanjang aku lalu lorong ni  tak pernah pulak bau wangi macam ni. Tak mungkin wangian ini turun dengan embun pagi pula!"  Kamal mula tertanya sendirian.
Menurut Kamal, dia menutup sedikit hidungnya dan terus berjalan tanpa mempedulikan wanita di hadapannya dan menundukkan kepalanya ke bawah. Langkah nya dicepatkan dan semakin dia menghampiri wanita itu, semakin kuat bau wangi itu menusuk hidungnya. Kala itu terlintas di fikirannya tentang cerita rakan-rakannya. Kalau terhidu bau wangi, jangan dihidu kerana bau wangi itu adalah bau hantu raya! Teringat itu, dia segera menahan nafas seketika untuk tidak menghidu bau wangi itu.
"Tak tahu macam mana saya nak gambarkan macam mana degupan perasaan saya waktu tu. Hati saya mula berdebar-debar, jantung ni macam nak meletup rasanya. Tak pernah saya alami peristiwa macam ni" ujar nya lagi.
Kamal sudah dapat mengagak, cerita hantu yang diberitahu oleh rakannya itu memang benar dan kini barulah dia tahu bahawa cerita ngeri dan menakutkan ini memang benar-benar wujud. Tiba-tiba Kamal mendongak kepalanya dan entah tidak semena-mena, anak matanya mencuri jeling ke arah wanita itu. Dalam jelingan itu, dia dapat melihat seperti ada satu keganjilan pada wajah wanita itu.
"Wajahnya putih, bibirnya merah dan rambutnya panjang melepasi bahu!" ujar nya.
"Meremang habis seluruh bulu roma saya lepas tu tiba-tiba langkah kaki ni terhenti macam dipegang oleh sesuatu. Apa lagi saya pun cuba lah untuk melangkah semula tetapi tak berdaya.
"Waktu tu kaki saya ni terasa berat sangat, secara sepontan saya terpandang wanita. Saya nampak mula-mula wanita tu macam tersenyum lepas tu tiba-tiba berubah menjadi bengis" sambung nya lagi.
Menurut Kamal lagi, raut wajah wanita tadi berubah seratus peratus. Gigi yang tersusun cantik bertukar tajam dengan susunan yang menyeramkan. Rambut wanita itu pula mula mengerbang, disusuli hilaian suara menakutkan yang memecah lorong sunyi itu. Dengan wajah yang menakutkan, wanita itu menghampiri nya.
"Bila saya dah nampak macam tu apa lagi, saya cuba nak lari, tetapi kaki saya ni seolah-olah terpijak gam. Pekara terakhir yang saya ingat, saya menjerit sekuat hati kemudian rebah menyembah bumi" ujar nya serius dan sambil ketawa kecil.
Menurut cerita nya lagi, Keesokan paginya dia ditemui oleh seorang wanita tua yang kebetulan melalui lorong itu dan setelah mendapatkan bantuan dia akhirnya dihantar pulang dalam keadaan tubuhnya yang lemah.
Sambung nya lagi, dia demam selama tiga hari dan ibunya memberitahu yang dia sering kali meracau-racau dalam tidurnya terutamanya pada sekitar jam 1.00 atau 2.00 pagi. Akhirnya untuk memulihkan kembali semangat, ibunya memanggil seorang pakar perubatan tradisional bagi merawat nya.
"Dengan izin Allah SWT, akhirnya saya berjaya dipulihkan biarpun terpaksa menunggu masa yang agak lama dan sejak peristiwa itu barulah saya sedar dan percaya apa yang telah diceritakan oleh rakan-rakan saya" ujar nya.
Kini dia sudah tidak lagi menggunakan lorong sunyi yang berpuaka itu dah dia lebih sanggup untuk menggunakan jalan utama.