Wednesday 29 February 2012

GADIS DISAMPUK PENUNGGU KILANG.

SERI GOMBAK, kisah ini telah lama berlalu tetapi tetap segar dalam ingatannya. Semasa kejadian itu berlaku Mohd Soffian, 29, atau mesra dengan panggilan Pian pernah bekerja di salah sebuah kilang di kampung nya. Kilang ini didirikan di tapak bekas kawasan kebun dan kawasan ni telah dimajukan untuk kawasan perkilangan. Diceritakan dahulunya tanah ini adalah tanah milik persendirian.
"Pada suatu petang, lebih kurang pukul 5 seperti biasa pekerja-pekerja akan bergegas untuk pulang. Tapi pada hari tersebut agak kelam kabut sikit kerana mengejarkan rancangan kegemaran dekat tv iaitu cerita jepun. Saya dah lupa tajuk cerita tu tapi memang cerita tu menjadi kegemaran ramai ketika tu. Dalam keadaan yang agak tergesa-gesa ada seorang gadis terjatuh, terlanggar batu kot?" ujar Pian.
"Kepala gadis tu terkena dekat pagar, kepalanya berdarah dan darahnya tu pulak boleh tahan jugak banyaknya mungkin kena tang urat. Saya pun tak pasti berapa teruk kecederaan gadis itu tapi habis merah lantai kat situ dengan kesan darahnya.
"Keesokan harinya, gadis yang terlanggar pagar tu datang kerja seperti biasa. Hairan juga saya, takkan tak cuti? saya tengok luka dikepalanya tu dah sembuh. Hairan macam mana boleh kejap sangat elok tak tau lah" sambung Pian lagi.
Menurut nya, dia memang nampak kejadian itu serius. Sampai dia sendiri naik takut. Waktu tu sudah tengahhari, gadis semalam yang terlanggar pagar itu tiba-tiba menjerit-jerit macam orang kena histeria.
"Lama jugak dia kelam kabut macam tu, orang lain ingat gadis ni ada masalah peribadi. Kesian juga sampai menarik-narik rambut sendiri. Tak lama lepas itu pengurus kilang terpaksa menghantar gadis tu pulang" ujar Pian.
Pian menceritakan lagi, keesokkannya kejadian yang sama berlaku seperti semalam. Cuma kali ni bukan setakat kena pada seorang, tetapi ada dua tiga orang lagi yang terkena.
"Pada keesokkan harinya, kejadian menjerit-jerit tu berlaku lagi. Tapi pada orang lain pula, lepas seorang reda kena pada orang lain pula. Macam pesta saya tengok, ada yang mengilai, ada yang menjerit, ada yang ketawa. Seram pulak saya tengok perangai masing-masing nasib baik saya tak kena." sambung Pian sambil mengerutkan dahi nya.
Kejadian itu berlarutan hampir setengah bulan dan menurut ceritanya lagi telah ramai yang berhenti kerja sebab takut. Malah kalau nak ke tandas pula mesti nak kena berteman. Yelah takut terkunci dengan sendiri sebab pernah terjadi pada saya sebelum ni.
"Waktu tu saya memang dah tak tahan nak buang air, saya pun apa lagi terus bergegas ke tandas. Masuk je terus kunci pintu, tapi masa tu macam ada terdengar-dengar bunyi seperti ada orang berjalan.
"Ah! Lantaklah!" bisik nya dalam hati.
"Setelah selesai dengan perasaan tenang, saya berpusing menghadap pintu dan cuba membuka selak pintu tandas tu. Tapi pintu tu tak boleh buka seolah-oleh di kunci dari luar.
"Untuk pengetahuan, tandas di kilang tu memang ada mempunyai kunci selak lain dari luar. Sebab apa selak tu dipasang saya tak tahu.  Tiba-tiba perasaan tenang tadi mula bertukar menjadi marah kerana pikir saya mungkin ada yang nak mainkan saya. Saya jerit suruh mereka buka pintu, tapi tiada siapa yang menyahut.
"Saya jerit sekali lagi, waktu tu la saya terdengar suara ketawa. Tapi bunyi nya halus sangat, sekali-sekala ketawa tu bertukar jadi bunyi mengilai. Waktu tu mata saya dah terbeliak, saya ada teringat kata orang tua-tua. Kalau kita dengar bunyi tu kuat bermaksud benda tu jauh dari kita, tapi kalau bunyi tu halus atau perlahan maksudnya benda itu cukup hampir dengan kita.
"Waktu tu bulu tengkuk saya dah meremang habis, dalam pikiran saya seolah-olah benda betul-betul dalam belakang saya. Tiba-tiba terasa seperti orang bernafas betul-betul kt belakang tengkuk saya. Cepat-cepat saya menoleh. Nasib baik tak jumpa apa-apa, kalau tak mau melaung-laung jugak saya kat dalam" sambung Pian lagi.
Menurut Pian, setelah diselidik rupanya memang ada sebab atas semua perkara yang telah berlaku. Cerita ini diceritakan sendiri oleh seorang pak guard kat tempat dia bekerja. Menurut nya lagi, ada melihat satu lembaga putih terbang dari pokok saga di depan kilang dan terus menjilat pada kesan darah gadis yang terlanggar pagar tu.
Sambung nya lagi, pak guard itu ada memberitahu dulu yang tempat ni asalnya tapak kebun milik seorang yang kaya dan dia takut hartanya di ceroboh. Maka dia telah menanam tengkorak di setiap penjuru kebunnya, mungkin sebagai penjaga tanah nya.
Bila orang tu meninggal, mungkin dia lupa untuk membuang penjaga disitu. Sampai la kilang tu didirikan, mungkin kerana marah dan sebab itu la benda-benda itu mula mengganggu.
"Konon-kononnya lembaga tu mengamuk, kerana apa pak guard tu sendiri pun tak berapa pasti. Tapi yang pastinya semenjak dari itu lah kejadian histeria tu sering terjadi" ujar Pian.
Menurut Pian lagi, pihak atasan tidak berapa percaya dengan perkara ni. Budak-budak yang terkena histeria itu menceritakan dada mereka seolah-olah dipukul dengan kepala-kepala tengkorak tanpa henti, itu yang menyebabkan mereka menjerit-jerit.
Demi untuk menghalau penunggu tu kata sepakat telah dibuat, maka diadakan "samak" di tempat dia bekerja. Mereka memanggil seorang bomoh untuk menghalau penunggu-penunggu tu.
"Selepas daripada itu kilang itu kembali aman dan tiada lagi perkara-perkara yang tak diingini berlaku. Sehinggalah saya berhenti kerja" ujar Pian mengakhiri ceritanya.

No comments:

Post a Comment