Sunday, 4 March 2012

MISTERI LORONG SUNYI.

SELAYANG, Kamal Afandi, 37, pada mulanya memang sukar untuk mempercayai cerita-cerita mengenai hantu, makhluk halus, ghaib dan sebagainya. Kadang-kadang dia membantah rakan-rakan apabila mereka bercerita tentang kisah-kisah pelik atau misteri. Bukan kerana dia takut tetapi kerana dia memang tidak mempercayainya.
Tetapi kejadian tiga bulan lalu mengubah pendirian nya. Dia yang lebih mahu dipanggil Kamal, akhirnya terpaksa mengaku bahawa kisah-kisah seram, ghaib dan makhluk halus ini memang wujud di dunia ini. Memang kejadian itu begitu sukar untuk dia lupakan, bahkan masih segar dalam ingatannya.
"Kejadian yang amat menakutkan tu berlaku di satu lorong sunyi yang terletak tidak jauh dari kilang tempat saya bekerja. Lorong sunyi tu menjadi laluan bagi saya setiap kali pulang dari tempat kerja" kata nya sambil memulakan ceita.
Kamal sebenarnya sudah lama menggunakan lorong sunyi tersebut. Boleh dikatakan hampir empat tahun dia menggunakan lorong itu. Tidak pernah dia terserempak dengan sebarang makhluk ghaib atau aneh.
"Selama ini rakan-rakan saya selalu menceritakan tentang ada orang yang pernah ternampak dengan puntianak, hantu raya, hantu bungkus di kawasan tu. Dah macam-macam cerita seram yang saya dengar, tapi saya tetap lalu ikut lorong sunyi itu" kata nya.
Sebenarnya Kamal tidak mempunyai pilihan. Lorong sunyi itu adalah jalan pintas baginya, sama ada untuk ke tempat kerja atau pulang ke rumah. Kamal bekerja sebagai seorang penyelia di sebuah syarikat penghantaran. Disebabkan waktu kerjanya yang tidak tentu masa menyebabkan ada sesekali dia terpaksa pulang lewat malam disebabkan harus menyiapkan kerjanya terlebih dahulu sehinggakan kadang kala sehingga 1 atau 2 pagi.
"Dulu jalan sunyi tu memang menjadi laluan ramai pekerja kilang, kerana kawasan itu dekat dengan kawasan perindustrian. Tetapi sejak setahun dua kebelakangan ni, pekerja-pekerja kilang dah jarang menggunakan lorong tersebut berikutan tersebarnya cerita hantu puntianak dan makhluk halus yang menyerupai budak kecil" sambung nya.
"Bagi saya biarpun orang lain tidak berani menggunakan lorong sunyi tu, tetapi saya  tetap ikut jalan tu. Sehinggalah pada suatu malam, selepas saya habis bekerja. Saya terus pulang ke  rumah, tetapi dalam perjalanan pulang sebelum sampai lorong sunyi tu saya singgah sekejap di warung mamak bersama dua orang kawan saya" kata nya lagi.
Menurut Kamal lagi, jam di tangan sudah mencecah pukul 12.45 malam. Kebetulan malam itu adalah malam Jumaat dan dua orang rakan nya tidak pulang melalui lorong sunyi itu. Walaupun diajak oleh nya, mereka tetap enggan melalui lorong tersebut. Tinggallah dia seorang yang terpaksa melaluinya kerana tidak mempunyai pilihan lain.
"Kalau saya ikut jalan utama, jarak perjalanannya lebih jauh untuk sampai ke rumah.  Mahu tidak mahu saya terpaksa jug lah melalui lorong itu. Waktu saya dalam perjalanan pulang, hati saya tiba-tiba berdebar. Mata saya melilau menjeling kiri kanan lorong, bila sampai je di pertengahan lorong tu saya tersentak kerana ada seorang wanita jelas kelihatan di depan saya" ujar nya lagi.
"Saya berhenti sekejap, hati dan perasaan saya mula menggambarkan apa yang pernah saya dengar sebelum ni dan mahu tak mahu saya kena kuatkan juga semangat ni. Bila je langkah saya makin dekat dengan wanita tu, hidung saya tiba-tiba dihidangkan dengan bau yang cukup wangi.
"Sepanjang aku lalu lorong ni  tak pernah pulak bau wangi macam ni. Tak mungkin wangian ini turun dengan embun pagi pula!"  Kamal mula tertanya sendirian.
Menurut Kamal, dia menutup sedikit hidungnya dan terus berjalan tanpa mempedulikan wanita di hadapannya dan menundukkan kepalanya ke bawah. Langkah nya dicepatkan dan semakin dia menghampiri wanita itu, semakin kuat bau wangi itu menusuk hidungnya. Kala itu terlintas di fikirannya tentang cerita rakan-rakannya. Kalau terhidu bau wangi, jangan dihidu kerana bau wangi itu adalah bau hantu raya! Teringat itu, dia segera menahan nafas seketika untuk tidak menghidu bau wangi itu.
"Tak tahu macam mana saya nak gambarkan macam mana degupan perasaan saya waktu tu. Hati saya mula berdebar-debar, jantung ni macam nak meletup rasanya. Tak pernah saya alami peristiwa macam ni" ujar nya lagi.
Kamal sudah dapat mengagak, cerita hantu yang diberitahu oleh rakannya itu memang benar dan kini barulah dia tahu bahawa cerita ngeri dan menakutkan ini memang benar-benar wujud. Tiba-tiba Kamal mendongak kepalanya dan entah tidak semena-mena, anak matanya mencuri jeling ke arah wanita itu. Dalam jelingan itu, dia dapat melihat seperti ada satu keganjilan pada wajah wanita itu.
"Wajahnya putih, bibirnya merah dan rambutnya panjang melepasi bahu!" ujar nya.
"Meremang habis seluruh bulu roma saya lepas tu tiba-tiba langkah kaki ni terhenti macam dipegang oleh sesuatu. Apa lagi saya pun cuba lah untuk melangkah semula tetapi tak berdaya.
"Waktu tu kaki saya ni terasa berat sangat, secara sepontan saya terpandang wanita. Saya nampak mula-mula wanita tu macam tersenyum lepas tu tiba-tiba berubah menjadi bengis" sambung nya lagi.
Menurut Kamal lagi, raut wajah wanita tadi berubah seratus peratus. Gigi yang tersusun cantik bertukar tajam dengan susunan yang menyeramkan. Rambut wanita itu pula mula mengerbang, disusuli hilaian suara menakutkan yang memecah lorong sunyi itu. Dengan wajah yang menakutkan, wanita itu menghampiri nya.
"Bila saya dah nampak macam tu apa lagi, saya cuba nak lari, tetapi kaki saya ni seolah-olah terpijak gam. Pekara terakhir yang saya ingat, saya menjerit sekuat hati kemudian rebah menyembah bumi" ujar nya serius dan sambil ketawa kecil.
Menurut cerita nya lagi, Keesokan paginya dia ditemui oleh seorang wanita tua yang kebetulan melalui lorong itu dan setelah mendapatkan bantuan dia akhirnya dihantar pulang dalam keadaan tubuhnya yang lemah.
Sambung nya lagi, dia demam selama tiga hari dan ibunya memberitahu yang dia sering kali meracau-racau dalam tidurnya terutamanya pada sekitar jam 1.00 atau 2.00 pagi. Akhirnya untuk memulihkan kembali semangat, ibunya memanggil seorang pakar perubatan tradisional bagi merawat nya.
"Dengan izin Allah SWT, akhirnya saya berjaya dipulihkan biarpun terpaksa menunggu masa yang agak lama dan sejak peristiwa itu barulah saya sedar dan percaya apa yang telah diceritakan oleh rakan-rakan saya" ujar nya.
Kini dia sudah tidak lagi menggunakan lorong sunyi yang berpuaka itu dah dia lebih sanggup untuk menggunakan jalan utama.

No comments:

Post a Comment