Nama aku Que Aqiee, sebelum nie aku tak percaya pada hantu. Tapi setelah aku mengalami situasi itu aku mula percaya dan mula dari saat itu aku sentiasa mencari dan cuba mengenali 'mereka' dengan lebih dekat.. Dan aku tak akan lupa kata2 mereka pada aku "ADA SYAITAN TENGAH HASUT DEKAT TELINGA KIRI KAU DAN KAU TELAH SAMPAI KE HUJUNG JALAN KAU...NERAKA" dan macam-macam lagi... Aku akan kongsi semua pengalaman aku dan anda semua DIJEMPUT.
Tuesday, 6 November 2012
SEDIKIT INFO TENTANG HANTU DIKALANGAN ORANG MELAYU...
Hantu merupakan kepercayaan mengenai makhluk halus yang wujud di dalam alam lain yang terdapat dalam semua kebudayaan dalam dunia ini. Dalam masyarakat Melayu hantu, semangat, jembalang atau penunggu telah wujud sejak zaman animisme lagi. Ketika itu semua benda besar seperti pokok atau batu yang besar dianggap didiami jin penunggu yang perlu dijaga dengan baik agar jin tersebut tidak mengamuk dan membahayakan penduduk sekitar. Malahan jamuan makanan atau acak disediakan oleh seseorang yang berpengalaman yang dikenali sebagai pawang bagi memastikan penunggu tersebut pula membantu penduduk daripada serangan wabak penyakit dan musuh tanaman. Amalan ini masih kekal dikalangan penduduk asli yang masih mengamalkan kepercayaan animisme.
Dengan kedatangan agama Hindu dan Buddha, konsep penunggu dan jembalang diubah menjadi konsep dewa-dewa yang mendiami tempat-tempat tertentu. Bagi menghormati dewa-dewa ini, kuil-kuil dibina ditempat-tempat tersebut dengan tujuan pemujaan bagi mendapatkan per. Keadaan ini tidak berubah dengan kedatangan orang-orang Cina yang juga mendirikan tokong kecil di bawah pokok atau tempat tertentu bagi mendapatkan bantuan tuah kepada mereka.
Hantu wujud dalam minda Melayu sebagai satu penjelasan mengenai perkara-perkara yang tidak difahami atau diketahui. Contohnya :
Mengapa seseorang itu sakit mengejut pada hal sebelum ini kelihatan sihat sebelum berpindah ?
Mengapa pokok besar dan berakar songsang itu berbunyi pada waktu malam ?.
Mengapa sesebuah rumah itu ditinggalkan oleh penghuninya, dan orang yang baru berpindah masuk tidak kekal lama. Ada bunyi orang mengilai .
Mengapa kawasan kubur seperti ada sesuatu bergerak dan berbunyi pada waktu malam.
Mengapa mayat seseorang dijumpai berkecai-kecai ketika berladang. (Akibat haiwan buas?)
Mungkin orang Melayu hendak menakutkan anak-anaknya janganlah keluar waktu malam atau waktu maghrib. Mungkin cerita hantu mudah direka dan menjadi hiburan pada waktu malam.
Jenis-jenis hantu:
Ada pelbagai jenis hantu atau makhluk yang dianggap hantu ini . Munsyi Abdullah dalam Hikayat Abdullah telah lama mempertikaikan kepercayaan karut orang Melayu ini. Antara jenis-jenis kelompok hantu-hantu ini adalah :
Pontianak/ Puntianak/ Kuntilanak
Polong
Toyol
Pelesit
Hantu Air/ Hantu Laut
Hantu Raya
Hantu Bungkus/ Pocong/ Hantu Punjut
Langsuir
Bota
Bajang
Bunian
Hantu Jepun
Hantu Bukit
Hantu Kubur
Pari-pari
Jerangkung
Hantu Galah
Jin Tanah
Hantu Keramat
Hantu Kum-Kum
Orang Minyak
Puaka
Penanggalan/ Hantu Tenggelong
Hantu Bidai
Hantu Tetek/ Hantu Kopek
Harimau Jadian
Jembalang Tanah
Menghalau hantu:
Pada masa kini, kebanyakan orang sudahpun berfikiran moden dan akan mendapatkan rawatan di hospital atau klinik. Tetapi kadang-kala, pihak hospital atau klinik mendapati tidak terdapat sebarang masaalah dijumpai. Biasanya keluarga si pesakit menganggap si pesakit diganggu sesuatu, dan akan berpaling kepada perkhidmatan traditional bagi cuba mengubati pesakit.
Perubatan cara menghalau hantu secara umumnya terbahagi kepada dua:-
Menggunakan khidmat sahabat jin bagi menghalau jin penganggu, biasanya dengan cara menurun. Cara ini telah difatwakan haram oleh ulama.
Menurut petua yang tidak bertentangan dengan Islam, tiada bacaan tertentu cuma menggunakan bahan-bahan semulajadi.
Menurut ajaran keagamaan masing-masing.
Sesetengah mereka yang berfikiran moden berpendapat, ia hanyalan kesan placebo. Selagi mereka yang diubati percaya mereka sihat, mereka akan sembuh dengan sendiri. Dalam erti kata lain, penyakit ini adalah penyakit dalam fikiran (psikologi). Walaubagaimanapun, keluarga pesakit tidak mempeduli apa yang berlaku. Bagi mereka, asalkan si pesakit sembuh, mereka akan melakukan apa jua yang diperlukan.
[sunting]Bersahabat dengan jin
Bersahabat dengan jin merujuk kepada seseorang yang mengikat tali persahabatan dengan makhluk halus. Persahabatan ini biasanya tidak digalakkan kerana ia mampu mendorong seseorang menjadi syirik, tetapi selalunya masih dilakukan kerana keinginan mendapat kelebihan tertentu seperti kebolehan mengubat. Kebolehan berubat merupakan bisikan dari jin yang menjurus kepada syirik kerana pengamal telah memohon kepada jin untuk menolong beliau.Persahabatan dengan jin ini juga dikenali sebagai saka.
Mereka yang bersahabat dengan jin ini perlu mematuhi beberapa syarat seperti ada yang meminta persembahan makanan, ada yang perlu dibakar kemian setiap waktu tertentu, dan ada yang mengenakan apa-apa syarat kecuali mereka ini mengerjakan amalan Islam dengan taat. Jin yang mengenakan syarat mereka yang bersahabat dengan mereka agar mengerjakan amalan Islam dengan taat biasanya dikenali sebagai jin Islam atau kaum bunian.
[sunting]Cara berhubung dengan sahabat jin
Cara lama ialah memanggil bomoh atau pawang di dalam sesebuah kampung. Bomoh atau pawang biasanya membakar kemenyan , membaca mentera tertentu seperti bahasa Jawa , kain kuning dan dedaun-dedaun tertentu sebagi peramu atau perambas. Untuk kes yang lebih berat, kambing akan disembelih, darahnya dijadikan acak (hidangan kepada hantu) dan dihanyutkan ke dalam sungai. Daging kambing dimasak dan dimakan secara beramai-ramai. Sekarang perkara ini tidak lagi dilakukan kerana perkara itu telah diketahui sebagai syirik.
Di Terengganu , tarian Ulek Mayang atau Main Puteri akan dipersembahkan. Sekiranya seseorang itu gagal diubati dengan cara biasa, satu upacara besar-besaran dengan tarian Ulik Mayang atau Main Puteri akan dilakukan. Nyanyian lagi Ulik Mayang yang merdu beserta tarian ringkas , dirambas dengan tandan pinang kecil menyeru tuan puteri (bunian) agar datang menyembuhkan pesakit.
Di banyak tempat, bomoh boleh 'menyelap' atau 'menurun' hingga boleh bertutur bahasa asing. Contohnya bahasa Siam, bahasa Jawa, bahasa Jerman dan bahasa Inggeris. Pendengar akan kehairanan kerana bagaimana jin boleh berbahasa asing walaupun sepatah dua sahaja. entah betul entah tidak bomoh tersebut berbahasa Inggeris.
Kualiti bomoh semakin meningkat jika berasal dari Orang Asli , orang Siam atau orang Jawa. Ilmu orang Asli tentang menghalau hantu dan memanggil hantu dipercayai lebih mujarab dan sangat ditakuti.
[sunting]Menurut cara perubatan Islam
Orang Melayu yang agak beriman akan berjumpa dengan orang alim seperti ustaz, Imam, lebai, pak aji atau tokoh agama di dalam kampung untuk menyelesaikan masalah ini dengan bacaan al Quran. Mereka yang sakit biasanya akan dibacakan ayat-ayat tertentu bagi memulihkan semangat, dan biasanya dimandikan / disuruh mandi dengan air campuran limau bagi menyegar badan. Selain itu air yang dibacakan bacaan al Quran diberi munum bagi memulih/penguat semangat pesakit. Ini sama seperti mereka yang berfikiran moden berjumpa dengan pakar motivasi bagi meringankan fikiran daripada masaalah yang dihadapi.
Bagi orang Melayu, hantu boleh dihalau dengan bacaan ayat-ayat suci. Oleh itu, orang Melayu menyimpan al Quran di rumah. Selain itu ayat-ayat Quran tertentu digantung di dinding-dinding rumah walaupun mereka tidak mengerti apa maksudnya.Dengan harapan, hiasan quran ini dapat menghalau jin tanpa beramal dengannya. Perkara ini adalah bertentangan dengan ajaran Islam sebenar, kerana Al Quran adalah untuk dibaca dan bukannya menjadi hiasan.
SIAPAKAH WANITA ITU???
Kisah pengalaman kali ini telah diceritakan sendiri oleh Abang Hamzah sewaktu diwawancara oleh penulis dikediamannya baru-baru ini.
"Saya masih ingat lagi waktu tu kira-kira pukul 2.00pagi, saya terjaga apabila mendengar suara operator telefon radio teksi membuat panggilan. Operator memberitahu ada penumpang dari Bukit Antarabangsa nak ke Taman Tun Dr. Ismail, yang berdekatan kawasan itu sila lapor...." suara operator halus keluar dari alat komunikasi.
"Tanpa berfikir panjang saya terus meyambut panggilan dan menyatakan sanggup untuk menggambil penumpang itu. Dari Jalan Hulu Klang saya masuk ke simpang Bukit Antarabangsa yang jalannya banyak selekoh tajam. Malangnya kira-kira lima minit kemudian operator memberitahu supaya saya tidak terus ke kondo tersebut kerana teksi lain
telah mengambil penumpang itu.
"Dah dekat nak sampai ni," beritahu saya pada operator.
"Janganlah marah saya pun tak tau kerana teksi tu tak lapor pun, tiba-tiba aja beritahu dah ambil," suara operator membela diri.
"Okeylah saya pusing balik," kata Abang Hamzah.
Sedikit kecewa dengan apa yang berlaku tetapi sudah alang-alang berada di Bukit Antarabangsa, dia merasakan lebih baik dia teruskan perjalanan hingga ke kondo tersebut. Manalah tahu kalau-kalau adalah penumpang lain. Jika tak adapun tak apalah, asalkan hati puas.
Menurut Abang Hamzah sewaktu dia tiba dipondok pengawal, tidak ada sesiapa pun disitu. Kemudian dia buat pusingan U dan patah balik. Dia memandu teksinya perlahan-lahan sambil menikmati pemandangan Kuala Lumpur dari lereng bukit. Dikiri dan kanan semuanya nampak gelap, hanya kelihatan bayang-bayang hitam pokok-pokok.
"Screeeeet!!!!!!!"
Tayar kereta berdecit apabila brek ditekan mengejut. Nyaris-nyaris dia terlanggar seorang perempuan ditepi jalan yang sedang melambai-lambaikan tangan menahan teksinya.
"Wow! Cantik seksinya cun melecun," sepontan keluar dari mulut Abang Hamzah apabila nampak wanita dalam lingkungan 20-an memakai gaun merah pendek. Gaun tanpa lengannya ketat hingga menampakkan susuk tubuh yang menggiurkan. "Saya terpaku juga dengan keayuan gadis itu. Saya turunkan cermin tingkap untuk bertanya, gadis berkulit putih dan bermata galak itu tersenyum sambil menjawab pertanyaan saya.
"Gombak," ringkas jawabnya dalam pelat Cina.
"Okey, boleh," jawab Abang Hamzah.
"Gadis itu terus membuka pintu belakang, minyak wangi yang dipakai oleh gadis itu menusuk ke hidung saya. Saya terus memandu menyusuri selekoh tajam jalan Bukit Antarabangsa untuk ke lebuh raya Hulu Klang kemudian ke Gombak. Sambil memandu saya sempat menjeling ke cermin, perempuan itu tersandar dikerusi dengan mata terpejam. Fikiran saya terus melayang memikirkan keberanian perempuan itu berjalan seorang diri didalam gelap. Namun saya tidak berani bertanya kerana bimbang dituduh menyibuk.
"Tiba-tiba terasa tengkuk saya disentuh jari-jemari yang sejuk seperti air batu. Saya tepis tangan gadis itu dan menyuruhnya duduk baik-baik, namun tengkuk saya terus juga diraba dengan gaya menggoda," ujar Abang Hamzah.
"Cik, jangan buat macam tulah," kata Abang Hamzah.
Menurut Abang Hamzah, perempuan itu tidak mempedulikan kata-katanya. Dia terus juga meraba dan membelai tengkuk, bahu serta rambut. Kali ini dia bersuara dengan lebih keras sekali gus memandang ke cermin. Abang Hamzah merenung cermin agak lama kerana tidak pasti apa yang dilihat.
"YA ALLAH! Eh! Betul ke ni?" saya bercakap sendiri.
"Kemudian saya pasang lampu, perempuan itu menyeringai, mukanya menggerutu. Mengalir darah dan nanah dari kudis-kudis dipipi, dagu dan dahi. Kelihatan kedua-dua matanya tersembul keluar. Saya terus tekan brek sekuat-kuat hati, kemudian pusing stereng untuk berpatah balik ke pondok pengawal dikondo tadi. Jari-jemari berkuku panjang terus meraba-raba dan membelai tengkuk saya. Beberapa kali saya cuba membaca ayat Qursi tapi lintang-pukang tidak tahu yang mana harus dibaca dulu. Lidah saya kelu dan kemudian saya cuba pula baca Al-Fatihah pun sama juga tak berjaya.
"Kereta yang saya pandu sekejap ke tepi sekejap ke tengah. Saya bimbang jika jari-jari itu akan mencekik leher saya. Terus saya tekan minyak supaya cepat sampai. Peluh dingin mengalir membasahi baju, rasa macam nak terkencing saya waktu itu," sambung Abang Hamzah.
Lututnya menggeletar dan seluruh badan seram sejuk. Semakin laju kereta makin lebar perempuan itu tersengih di cermin. Hampir-hampir besi penghalang dipintu pagar kondo saya langgar. "Saya menjerit sambil membuka pintu teksi sebaik sampai ke bilik pengawa. Malangnya saya jatuh, kaki saya berasa lembik dan tidak mampu untuk berdiri atau berjalan. Saya cuba bangun tapi tidak berdaya, terasa lemah seluruh badan. Saya menjerit lagi sambil merangkak kemudian meniarap seperti askar untuk ke pondok pengawal yang jaraknya hanya dua meter. Dua orang pengawal keselamatan berlari mendapatkan saya, mereka bertanya dengan muka cemas. Saya hanya mampu menunjuk ke arah teksi saya," katanya lagi.
Kata Abang Hamzah, mereka segera ke teksi tertunduk-tunduk mengintai dari cermin tingkap, yang kelihatan hanya wanita berambut panjang memakai gaun merah. Perlahan-lahan pintu belakang dibuka dan benda putih terbang keluar dari teksi. Pengawal lari lintang-pukang masuk ke bilik dan mengunci pintu. Abang Hamzah hanya memerhatikan kedua-dua pengawal itu termuntah-muntah. Tidak ada apa yang mampu saya lakukan kecuali memandang sahaja kerana bau bangkai dari dalam teksi mula menyelinap masuk ke lubang hidungnya. Malam itu dia tidak mampu untuk memandu. Semangatnya hilang langsung, tambah-tambah lagi bau bangkai itu masih melekat didalam teksi. Menjelang subuh tiga orang kawannya datang untuk membawanya pulang dan teksinya itu tinggalkan dikawasan berhampiran dengan pondok pengawal.
Abang Hamzah memberitahu, sejak peristiwa itu dia tidak berani mengambil penumpang dikawasan tersebut selepas tengah malam walaupun ditawarkan bayaran berkali-kali ganda bahkan seribu ringgit.
BAU YANG LEBIH BUSUK DARI BANKAI.......
Kuala Ketil, Kedah, hari itu nasib mereka sekumpulan cukup baik. Kalau tidak mungkin mereka akan nahas dikerjakan langsuir rimba yang datang menganggu disitu. Mereka semua bukan tahu sangat tentang hal-hal yang berkaitan dengan hutan belantara, lebih-lebih lagi jika berjumpa dengan benda yang bukan-bukan.
Pada hari tersebut, seperti biasa mereka menebas dikawasan ladang getah yang bukan sahaja telah ditumbuhi oleh semak samun. Malah sesetengah tempat pokok-pokok getahnya tidak lagi kelihatan kerana telah diselubungi belukar. Bagaimanapun kerana memikirkan perlunya wang untuk menyara keluarga, mereka menguatkan semangat dan terus mengambil upah untuk menebas ladang berkenaan. Seorang dari ahli kumpulan tersebut, Puan Hasnah Amin, 40, yang kini menetap diKampung Pekan Lama Kuala Ketil, Kedah, masih terasa seram untuk menceritakan apa yang dialaminya pada hari itu. Mungkin kerana tidak mahu dibayangi lagi oleh bayangan hantu berkenaan.
Bagaimanapun setelah dipujuk, akhirnya Puan Hasnah bersetuju untuk menceritakan apa yang telah berlaku kepada dirinya dan juga kumpulannya pada hari tersebut. Malah dia menganggap dengan menceritakannya semula apa yang telah berlaku itu, ia dapat mengimbaskan kembali serba sedikit kisah pahit maung ketika bersama keluarganya semasa tinggal diPahang.
"Kejadian yang dialami bersama 14 pekerja yang lain itu berlaku semasa saya tinggal di Rancangan Penempatan Semula (RPS) Kg.Peruang, Kuala Lipis, Pahang kira-kira lima tahun yang lalu. Pada hari itu, kami dalam satu kumpulan termasuk seorang ketua kumpulan yang bernama Mali menebas disatu tempat yang bersempadan dengan hutan tebal. Kesemua kami adalah perempuan dan hanya ketua kumpulan itu sahaja lelaki. Itu pun usianya agak muda sedikit dari usia kami," ujarnya memulakan ceritanya.
Apabila ditanya apa yang menyebabkan dia begitu seram untuk menceritakannya tentang pengalamannya itu, Puan Hasnah memberitahu, "Pada hari itu, kami sedang berehat untuk menikmati makan tengahari. Kami membawa bekal nasi masing-masing dan kebiasannya, waktu rehat untuk bersarapan tengahari adalah selama sejam dari pukul 12 hingga 1 tengahari," katanya.
Menurut Puan Hasnah, belum sempat untuk menikmati sarapan tengahari, tiba-tiba dia terasa lain macam. Seperti ada sesuatu yang sedang memerhatikan perbuatan dan tingkah lakunya. Disebabkan ada rasa kelainan dalam dirinya, dia cuba memerhatikan reaksi pekerja lain yang lain. Mereka juga kelihatan seperti dalam ketakutan sama seperti dirinya dan masing-masing berpandangan antara satu sama lain seolah-olah ada sesuatu perkara tidak baik yang akan menimpa mereka.
"Noriah!..," panggil seorang pekerja yang bernama Mak Teh. Nada suaranya bagaikan dalam ketakutan, seperti ada sesuatu yang hendak diberitahu.
Kata Puan Hasnah lagi, perempuan yang agak veteran itu memanggilnya kerana hendak memberitahu bahawa dia terhidu suatu bau yang sangat busuk seperti bau bangkai. Tetapi busuknya berlainan dengan bau bangkai yang biasa...menyeramkan. "Saya dapat menghidu bau yang hanyir dan bercampur busuk itu. Lalu saya mendongakkan kepala untuk melihat kalau-kalau bau tersebut datang dari arah pokok yang tinggi. Tiada apa yang kelihatan melainkan dedaun yang meliuk-liuk dicumbu oleh angin yang bertiup lembut pada waktu tersebut. Namun demikian saya terus memerhatikan disekitar kawasan hutan tebal yang hanya berjarak lebih kurang dalam 10 meter sahaja dari tempat kami berehat. Alangkah terperanjatnya saya apabila terlihat seorang gadis cantik sedang berdiri dibawah sebatang pokok besar dan merenung ke arah kami. Renungnya amat tajam dan menakutkan kami semua," jelasnya panjang lebar.
Ketika itu dia terasa badannya bagaikan terkaku kerana amat terkejut apabila terlihat gadis comel berkenaan yang muncul secara tiba-tiba. Menyedari apa yang dilihatnya adalah jelmaan syaitan, Puan Hasnah perlahan-lahan mendekati Mali untuk memberitahu tentang kehadiran tetamu yang tidak diundang itu dengan berbisik perlahan. Sebaik diberitahu Mali mengarahkan semua pekerja meniarap disebalik pokok getah. Tindakan itu perlu dilakukan untuk menyelamatkan diri dari dihidu dan dilihat oleh penunggu hutan tersebut.
"Mungkin kerana terdengar pergerakkan dan percakapan antara kami, rupa gadis tadi serta merta bertukar menjadi hodoh serta menakutkan. Wajahnya yang cantik telah berubah seratus peratus. Kedua biji matanya merah menyala bagaikan buah saga. Penunggu hutan tersebut keluar sedikit dari pokok kayu tersebut dan kelihatan ia melayang diudara seperti sedang mencari sesuatu. Mungkin ia sengaja ingin mengelirukan kami," akuinya.
Puan Hasnah seterusnya menceritakan bahawa Mali memberitahu secara perlahan-lahan bahawa apa yang mereka saksikan itu adalah langsuir rimba yang sangat merbahaya. Makhluk ini amat ditakuti kerana suka menghisap darah manusia, terutamanya kaum wanita yang masih gadis. "Saya dapat lihat dengan jelas wajah langsuir itu, sambil memusingkan kepalanya, langsuir itu membuka mulutnya luas-luas menampakkan dua batang taringnya yang agak panjang. Sesekali menjelirkan lidahnya hingga ke paras dada bagaikan gian hendak menjilat darah. Saya berasa amat takut jika langsuir tersebut dapat mengesan salah seorang daripada kami. Nescaya habislah diratahnya, jadi kami semua terpaksalah berhati-hati dan tidak bergerak walaupun sedikit," terangnya.
Walaubagaimanapun, ketua mereka tidak hanya mendiamkan diri. Puan Hasnah nampak Mali membaca ayat-ayat suci Al-Quran sambil tangan kanannya menggenggam seketul tanah yang telah dikepalkan untuk membentuk gumpalan bulat. Kemudian Mali membalingkan ketul tanah tersebut ke arah penunggu hutan tersebut sambil bertempik...
"Allahuakbar..."
"Allahuakbar..."
"Allahuakbar..."
Apabila tanah yang dilemparkan itu terkena pada langsuir berkenaan, lalu kedengaran suara mengilai berlanjutan sambil melayang-layang berputar-putar buat seketika sebelum menyelinap menghilangkan diri didalam hutan yang tumbuhi pokok-pokok besar tersebut. Ketika berputar-putar langsuir yang mungkin marah dengan perbuatan Mali itu terus memancutkan air dengan kencingnya ke arah kami.Tetapi nasib baik tidak kena saya dan kawan-kawan. Setahunya, jika air kencing langsuir rimba terkena badan manusia kulit akan menjadi gatal dan lama-kelamaan berkudis. Manakala bau hancing akan terus pada badan selama beberapa bulan." ujar Pn Hasnah panjang lebar.
Pengalaman yang dialami oleh ibu kepada enam orang itu boleh dianggap sebagai kisah seram, kelakar dan menakutkan. Ini kerana mereka bukan sekadar nyaris-nyaris terkena air kencing langsuir berkenaan, malah dibaling oleh bermacam-macm jenis buah-buahan hutan yang beracun oleh langsuir tersebut. Sambil memerhatikan buah-buahan tersebut tergolek diatas tanah, mereka kemudiannya terus melangkah meninggalkan tempat berkenaan dan menuju ke tempat lain yang lebih selamat untuk meneruskan kerja menebas semak serta belukar diladang berkenaan. "Agaknya langsuir tersebut menyuruh kami memakan buah beracun berkenaan dan apabila kami mati seronoklah dia meratah daging kami. Selain itu saya juga terserempak dengan seorang wanita tua yang sedang mengutip buah lada didalam kawasan ladang getah berkenaan.
Apabila ditegur wanita tersebut terus melangkah cepat-cepat dan dengan sekelip mata menghilangkan diri," katanya sambil merenung sesuatu. Mungkin cuba mengingati kembali detik-detik pahit manis semasa tinggal dikampung berkenaan dahulu.
"Sebelum diteroka untuk dijadikan kawasan perkampungan, dahulunya kampung tersebut merupakan kawasan hutan tebal. Jadi tidak hairanlah kampung berkenaan menjadi tempat tinggal makhluk halus, terutamanya di dalam kawasan ladang," akhirinya menamatkan perbualan.
"MANA MAK...??"
Aku ada satu cerita pelik yang aku sendiri tak berapa pasti akan jadi cerita seram ke tidak. Tapi aku cerita sajalah masa umur aku 15tahun, hampir setiap bulan abah aku bawak jalan-jalan ke Genting Highland semata-mata hendak makan mcD. Apa yang aku nak cerita ni berlaku dekat parking lot cable car tu, ape nama dia? parking lot awana eh? keluarga aku dah 'BAN' genting highland so maaf lah aku lupa nama parking tu. Kalau boleh aku nak lupakan terus kenangan pahit ni tapi sesekali mesti teringat. Jadi kali terakhir pergi genting highland bersama family tu, bapak aku mengambil keputusan nak balik hari dan tak mahu parking dekat atas kawasan taman tema. Dia parking dekat tingkat atas sekali(tingkat 4 kot) parking lot yang bersekali dgn cable car tu.
Sepanjang hari dekat taman tema memang seronok sehinggalah kitorang balik waktu maghrib. Lepas keluar daripada cable car tu terus la menuju ke parking lot, semua adik beradik dengan abah aku dah jalan ke depan jadi tinggallah aku jalan sebelah mak aku perlahan-lahan. Sambil jalan dengan mak aku kat sebelah tu aku borak-borak la dengan dia, lepas tu dia hilang macam tu je. Aku sendiri tak percaya sebab bila sampai dekat van abah aku tanya la, "mana mak?" "tak tahu" aku jawab. Jadi terus la kakak sulung aku mengamuk salahkan aku sebab tak pandai jaga mak sedangkan aku jalan sebelah je. Masa tu aku memang lurus bendul, aku memang tak tahu mana mak aku hilang jadi aku nangis je la. Aku baca la apa-apa ayat quran yang patut sambil merayu supaya aku jumpa balik mak aku. Masa tu adik beradik yang lain pun dah menggelabah, mereka berlari la ke sana ke mari jerit nama mak aku.
Untuk pengetahuan korang, masa tu takda orang yang jalan ke kereta masing-masing kecuali keluarga aku. Memang sunyi habis dan aku tak ingat berapa minit atau jam cuma yang pasti kitorang cari mak lama sangat. Terjerit sana sini macam orang gila, dari tingkat 4 lari turun ikut tangga sampai ke bawah. Wktu itu rasanya setiap sudut dan tingkat parking lot tu kami cari tapi tiada. Aku rasa bersalah sangat, macam aku tak pandai jaga mak sendiri. Macam aku anak yang jahat, jadi masa aku turun dari salah satu tangga aku minta sangat kat Allah SWT supaya tolong la pulangkan mak aku balik, ambil la aku ni. Lagipun aku tak tahan kena marah dengan kakak sulung aku yang garang tu. Tiba-tiba mak aku keluar dari sebalik tangga tu, aku nak turun dan mak pulak nak naik. Leganya hati aku dan mak pula nampak letih sangat, muka sayu dan tak cakap apa-apa. Aku terus tarik tangan dia bawak pergi ke van. Sepanjang balik semua dalam van senyap, terutama bapak aku. Berkerut-kerut muka dia sepanjang dia pandu pulang, takda nak marah-marah aku lagi macam lega dah jumpa mak.
Sampai saja dirumah semua dikehendaki mandi, buat apa yang patut dan tidur. Jadi sebelum masing-masing nak masuk tidur mak aku cerita la, berkerumun semua pergi kat meja makan nak dengar apa yang dah jadi kat keluarga kami sebenarnya. Dia cakap kali terakhir dia ingat dia jalan dengan aku, lepas tu tiba-tiba semuanya kosong. Parking lot tu ada kereta macam biasa cuma langsung tiada orang, dia cakap dia perasan masa nak menuju ke van tu ada budak remaja berlumba kereta. Tetapi tiba-tiba semuanya kosong, jadi dia jalan kaki diantara kereta parking disitu. Dia turun dari satu tingkat ke satu tingkat, jalan tengah-tengah juga dan apa yang lagi pelik mak aku cakap masa dia turun satu tingkat, dekat hujung dia nampak macam ramai orang tengah jalan sambil berbual dan makan minum tanpa mempedulikan dia. Macam tak perasan dia wujud, jadi dia turun lagi satu tingkat sebab dia ingat mana lah tahu kami tertinggalkan dia dan tunggu dibawah. Bila dia turun lagi satu tingkat, kiri kanan memang tiada orang langsung kat parking tu kecuali hujung kat dinding dia nampak orang yang sama, pakai baju yang sama, buat perbuatan yang sama.
Masa tu barulah dia perasan dia dah dipermainkan oleh makhluk Allah lagi satu ni, macam dia dah masuk alam lain atau dah kena sorok. Dia bacalah ayat-ayat quran sambil jalan dengan niat dapat jumpa kami semula, sampai tingkat bawah dia turun. Lepas tu dia naik balik, setiap tingkat semua sama mak aku cakap. Balik-balik jumpa benda yang sama, sampailah dia penat sangat. Jadi dia berzikir, dia cakap dia baca asmaul-husna dan masa tu lah dia lepas dan terserempak dengan aku. Susah nak diterima oleh akal tapi itulah, benda dah jadi. Sejak peristiwa tu keluarga aku tidak lagi ke genting highland, abah aku bawak jalan-jalan tempat lain saja. Adik kecik aku pun takut nak pergi ke sana lagi, dia kata takut ak hilang lagi. Tapi aku tidak pergi sana dari umur 15 sampai masuk Universiti, bila masuk U, kawan-kawan ajak pergi aku pun rindu sangat jadi aku pergi juga tanpa keluarga tahu. Alhamdulillah tak jadi apa-apa lagi, tapi lama-lama keluarga tahu dah dan mereka tak nak marah pun cuma suruh tanggung risiko sendri. Sekarang aku dah kerje, langsung dah tak pergi.
Aku bersyukur kerana makhluk yang sorok mak aku tu tak sorok aku sekali. Aku rasa masa tu sebab "dia" fikir mak aku ni alim, baik jadi dia uji mak aku. kalau dia sorok aku pun buang masa saja, apa aku boleh buat sangat pun masa umur 15thn tu?
MISTERI ISTANA KELLIE
Pemanduan selama 30 minit ke selatan Ipoh menghala ke arah Batu Gajah akan membawa anda ke Ladang Getah Kinta Kellas. Ditengah kehijauan rumput yang subur, tersergam sebuah istana impian separuh siap kepunyaan William Kellie Smith, seorang peladang berbangsa Scotland yang kaya-raya.
Pembinaan yang bermula pada tahun 1915 ke atas istana besar yang mempunyai seni bina lain dari yang lain ini berhenti secara mendadak dengan kematian mengejut pemiliknya. Suasana misteri masih menyelubungi rumah besar yang menyeramkan ini. Adalah dipercayai istana ini juga mempunyai bilik-bilik rahsia dan terowong bawah tanah.
Setelah 67 tahun berlalu, khabar-khabar angin tentang peristiwa misteri istana ini telah menguatkan lagi lagenda impian yang tidak kesampaian bagi William Kellie Smith. Lagenda ini jugalah yang telah memberi satu daya tarikan kepada istana ini untuk terus menjadi satu destinasi pengunjung yang bersejarah.
Penemuan ganjil menyerupai seekor beruang dibatang pokok batai atau dagang menjadikan Kellie's Castle sebagai kawasan pelancongan yang semakin terkenal dan terus dikunjungi pelancong domestik serta luar negara. Pengarah Eksekutif Kellie's Castle, Tajuddin Yaacob, berkata beliau berharap penemuan itu akan membawa kebaikan dan keuntungan kepada kawasan pelancongan berkenaan khasnya serta Perak amnya.
Kellie's Castle adalah istana zaman kolonial yang dibina antara 1909 hingga 1926 oleh seorang hartawan dari Scotland, Wiliam Kellie Smith diKilometer 5.5 Jalan Simpang Pulai-Batu Gajah. Tajuddin berkata, penemuan pada minggu pertama Aidilifitri lalu mengubah senario Kellie's Castle yang terkenal sebagai kawasan pelancongan penuh misteri dinegara ini. Beliau berkata, jika selama ini pengunjung yang datang hanya memberi tumpuan kepada bangunan istana lama terbabit, kini mereka juga tidak melepaskan peluang melihat pokok batai atau dagang yang mirip wajah beruang itu serta meninjau kawasan berhampiran.
Katanya, apa yang menjadikannya lebih unik hanya terdapat satu pokok yang nama saintifiknya Albizia di kawasan pelancongan itu dan ia berasal dari Brazil. "Kami dapat melihat rupa seekor haiwan menyerupai beruang seakan-akan memeluk batang pokok batai atau dagang yang besar itu."Pokok terbabit terletak kira-kira 50 kilometer dari Kellie's Castle dan dikatakan berusia lebih 40 tahun."Pihak pengurusan Kellie's Castle akan membuat satu papan tanda khas mengenai pokok itu supaya ia menjadi tumpuan pengunjung terutama pengunjung Kellie's Castle," katanya.
Tajuddin berkata, Kellie's Castle menjadi tumpuan ramai pengunjung terutama pada hujung minggu dan musim cuti seperti cuti umum atau persekolahan.Katanya, selain pelancong domestik dari negeri ini dan seluruh negara, ia dikunjungi pelancong luar dari Australia, Jerman, Amerika Syarikat, United Kingdom dan negara Eropah lain serta Asia."Boleh dikatakan ramai yang datang dari United Kingdom, mungkin kerana Smith berasal dari Scotland," katanya.Kellie's Castle adalah istana lama yang dibangunkan sebagai lambang cinta Smith kepada isterinya, Agnes.
Bagamanapun, ia gagal disiapkan kerana kematian Smith pada 1926.Kellie's Castle yang diperbuat daripada batu bata merah dan marmar diimport dari India setinggi enam tingkat mempunyai 24 bilik dan sebuah terowong bawah tanah yang menghubungkan istana itu dengan kawasan estet berhampiran.
Subscribe to:
Posts (Atom)