Nama aku Que Aqiee, sebelum nie aku tak percaya pada hantu. Tapi setelah aku mengalami situasi itu aku mula percaya dan mula dari saat itu aku sentiasa mencari dan cuba mengenali 'mereka' dengan lebih dekat.. Dan aku tak akan lupa kata2 mereka pada aku "ADA SYAITAN TENGAH HASUT DEKAT TELINGA KIRI KAU DAN KAU TELAH SAMPAI KE HUJUNG JALAN KAU...NERAKA" dan macam-macam lagi... Aku akan kongsi semua pengalaman aku dan anda semua DIJEMPUT.
Tuesday, 6 November 2012
BAU YANG LEBIH BUSUK DARI BANKAI.......
Kuala Ketil, Kedah, hari itu nasib mereka sekumpulan cukup baik. Kalau tidak mungkin mereka akan nahas dikerjakan langsuir rimba yang datang menganggu disitu. Mereka semua bukan tahu sangat tentang hal-hal yang berkaitan dengan hutan belantara, lebih-lebih lagi jika berjumpa dengan benda yang bukan-bukan.
Pada hari tersebut, seperti biasa mereka menebas dikawasan ladang getah yang bukan sahaja telah ditumbuhi oleh semak samun. Malah sesetengah tempat pokok-pokok getahnya tidak lagi kelihatan kerana telah diselubungi belukar. Bagaimanapun kerana memikirkan perlunya wang untuk menyara keluarga, mereka menguatkan semangat dan terus mengambil upah untuk menebas ladang berkenaan. Seorang dari ahli kumpulan tersebut, Puan Hasnah Amin, 40, yang kini menetap diKampung Pekan Lama Kuala Ketil, Kedah, masih terasa seram untuk menceritakan apa yang dialaminya pada hari itu. Mungkin kerana tidak mahu dibayangi lagi oleh bayangan hantu berkenaan.
Bagaimanapun setelah dipujuk, akhirnya Puan Hasnah bersetuju untuk menceritakan apa yang telah berlaku kepada dirinya dan juga kumpulannya pada hari tersebut. Malah dia menganggap dengan menceritakannya semula apa yang telah berlaku itu, ia dapat mengimbaskan kembali serba sedikit kisah pahit maung ketika bersama keluarganya semasa tinggal diPahang.
"Kejadian yang dialami bersama 14 pekerja yang lain itu berlaku semasa saya tinggal di Rancangan Penempatan Semula (RPS) Kg.Peruang, Kuala Lipis, Pahang kira-kira lima tahun yang lalu. Pada hari itu, kami dalam satu kumpulan termasuk seorang ketua kumpulan yang bernama Mali menebas disatu tempat yang bersempadan dengan hutan tebal. Kesemua kami adalah perempuan dan hanya ketua kumpulan itu sahaja lelaki. Itu pun usianya agak muda sedikit dari usia kami," ujarnya memulakan ceritanya.
Apabila ditanya apa yang menyebabkan dia begitu seram untuk menceritakannya tentang pengalamannya itu, Puan Hasnah memberitahu, "Pada hari itu, kami sedang berehat untuk menikmati makan tengahari. Kami membawa bekal nasi masing-masing dan kebiasannya, waktu rehat untuk bersarapan tengahari adalah selama sejam dari pukul 12 hingga 1 tengahari," katanya.
Menurut Puan Hasnah, belum sempat untuk menikmati sarapan tengahari, tiba-tiba dia terasa lain macam. Seperti ada sesuatu yang sedang memerhatikan perbuatan dan tingkah lakunya. Disebabkan ada rasa kelainan dalam dirinya, dia cuba memerhatikan reaksi pekerja lain yang lain. Mereka juga kelihatan seperti dalam ketakutan sama seperti dirinya dan masing-masing berpandangan antara satu sama lain seolah-olah ada sesuatu perkara tidak baik yang akan menimpa mereka.
"Noriah!..," panggil seorang pekerja yang bernama Mak Teh. Nada suaranya bagaikan dalam ketakutan, seperti ada sesuatu yang hendak diberitahu.
Kata Puan Hasnah lagi, perempuan yang agak veteran itu memanggilnya kerana hendak memberitahu bahawa dia terhidu suatu bau yang sangat busuk seperti bau bangkai. Tetapi busuknya berlainan dengan bau bangkai yang biasa...menyeramkan. "Saya dapat menghidu bau yang hanyir dan bercampur busuk itu. Lalu saya mendongakkan kepala untuk melihat kalau-kalau bau tersebut datang dari arah pokok yang tinggi. Tiada apa yang kelihatan melainkan dedaun yang meliuk-liuk dicumbu oleh angin yang bertiup lembut pada waktu tersebut. Namun demikian saya terus memerhatikan disekitar kawasan hutan tebal yang hanya berjarak lebih kurang dalam 10 meter sahaja dari tempat kami berehat. Alangkah terperanjatnya saya apabila terlihat seorang gadis cantik sedang berdiri dibawah sebatang pokok besar dan merenung ke arah kami. Renungnya amat tajam dan menakutkan kami semua," jelasnya panjang lebar.
Ketika itu dia terasa badannya bagaikan terkaku kerana amat terkejut apabila terlihat gadis comel berkenaan yang muncul secara tiba-tiba. Menyedari apa yang dilihatnya adalah jelmaan syaitan, Puan Hasnah perlahan-lahan mendekati Mali untuk memberitahu tentang kehadiran tetamu yang tidak diundang itu dengan berbisik perlahan. Sebaik diberitahu Mali mengarahkan semua pekerja meniarap disebalik pokok getah. Tindakan itu perlu dilakukan untuk menyelamatkan diri dari dihidu dan dilihat oleh penunggu hutan tersebut.
"Mungkin kerana terdengar pergerakkan dan percakapan antara kami, rupa gadis tadi serta merta bertukar menjadi hodoh serta menakutkan. Wajahnya yang cantik telah berubah seratus peratus. Kedua biji matanya merah menyala bagaikan buah saga. Penunggu hutan tersebut keluar sedikit dari pokok kayu tersebut dan kelihatan ia melayang diudara seperti sedang mencari sesuatu. Mungkin ia sengaja ingin mengelirukan kami," akuinya.
Puan Hasnah seterusnya menceritakan bahawa Mali memberitahu secara perlahan-lahan bahawa apa yang mereka saksikan itu adalah langsuir rimba yang sangat merbahaya. Makhluk ini amat ditakuti kerana suka menghisap darah manusia, terutamanya kaum wanita yang masih gadis. "Saya dapat lihat dengan jelas wajah langsuir itu, sambil memusingkan kepalanya, langsuir itu membuka mulutnya luas-luas menampakkan dua batang taringnya yang agak panjang. Sesekali menjelirkan lidahnya hingga ke paras dada bagaikan gian hendak menjilat darah. Saya berasa amat takut jika langsuir tersebut dapat mengesan salah seorang daripada kami. Nescaya habislah diratahnya, jadi kami semua terpaksalah berhati-hati dan tidak bergerak walaupun sedikit," terangnya.
Walaubagaimanapun, ketua mereka tidak hanya mendiamkan diri. Puan Hasnah nampak Mali membaca ayat-ayat suci Al-Quran sambil tangan kanannya menggenggam seketul tanah yang telah dikepalkan untuk membentuk gumpalan bulat. Kemudian Mali membalingkan ketul tanah tersebut ke arah penunggu hutan tersebut sambil bertempik...
"Allahuakbar..."
"Allahuakbar..."
"Allahuakbar..."
Apabila tanah yang dilemparkan itu terkena pada langsuir berkenaan, lalu kedengaran suara mengilai berlanjutan sambil melayang-layang berputar-putar buat seketika sebelum menyelinap menghilangkan diri didalam hutan yang tumbuhi pokok-pokok besar tersebut. Ketika berputar-putar langsuir yang mungkin marah dengan perbuatan Mali itu terus memancutkan air dengan kencingnya ke arah kami.Tetapi nasib baik tidak kena saya dan kawan-kawan. Setahunya, jika air kencing langsuir rimba terkena badan manusia kulit akan menjadi gatal dan lama-kelamaan berkudis. Manakala bau hancing akan terus pada badan selama beberapa bulan." ujar Pn Hasnah panjang lebar.
Pengalaman yang dialami oleh ibu kepada enam orang itu boleh dianggap sebagai kisah seram, kelakar dan menakutkan. Ini kerana mereka bukan sekadar nyaris-nyaris terkena air kencing langsuir berkenaan, malah dibaling oleh bermacam-macm jenis buah-buahan hutan yang beracun oleh langsuir tersebut. Sambil memerhatikan buah-buahan tersebut tergolek diatas tanah, mereka kemudiannya terus melangkah meninggalkan tempat berkenaan dan menuju ke tempat lain yang lebih selamat untuk meneruskan kerja menebas semak serta belukar diladang berkenaan. "Agaknya langsuir tersebut menyuruh kami memakan buah beracun berkenaan dan apabila kami mati seronoklah dia meratah daging kami. Selain itu saya juga terserempak dengan seorang wanita tua yang sedang mengutip buah lada didalam kawasan ladang getah berkenaan.
Apabila ditegur wanita tersebut terus melangkah cepat-cepat dan dengan sekelip mata menghilangkan diri," katanya sambil merenung sesuatu. Mungkin cuba mengingati kembali detik-detik pahit manis semasa tinggal dikampung berkenaan dahulu.
"Sebelum diteroka untuk dijadikan kawasan perkampungan, dahulunya kampung tersebut merupakan kawasan hutan tebal. Jadi tidak hairanlah kampung berkenaan menjadi tempat tinggal makhluk halus, terutamanya di dalam kawasan ladang," akhirinya menamatkan perbualan.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment