Wednesday, 29 February 2012

DI SELAMATKAN OLEH SERUAN AZAN.


Gombak, tiada siapa pun didunia ini yang ingin mengalami perkara-perkara yang tidak diingini berlaku pada mereka. Dan bagi mereka yang pernah mengalami situasi itu pula, pasti akan menjadikan ia satu pengalaman yang tidak akan dilupakan seumur hidup.
Amirudin, 53, atau lebih dikenali sebagai Amir dikalangan kawan-kawan terdekat. "Pengalaman ni berlaku masa saya muda dulu, kalau nak cerita semua pengalaman saya memang banyak. Sampai besok pun mungkin tak akan habis. Tapi ada satu cerita yang sentiasa segar di ingatan saya dan ianya telah mengubah cara hidup saya sekarang" kata Amir memulakan cerita nya.
Di sebalik pandangan matanya yang tenang itu, tiada siapa yang tahu rupa-rupanya mata itu telah banyak menyaksikan pelbagai kejadian-kejadian misteri dan aneh sepanjang zaman muda nya.
Setelah meneguk secawan kopi panas, Amir memulakan ceritanya. "Kejadian tu berlaku dah lama, tapi saya akan ingat sampai bila-bila. Bahkan kalau ada anak-anak buah saya yang bertanyakan tentang cerita hantu, saya akan ceritakan kisah ini" ujar Amir sambil tersenyum.
"Sekarang umur saya 53 tahun, pengalaman saya ni berlaku sekitar tahun 1992. Umur saya dalam lingkungan 33 tahun. Waktu itu saya bekerja sebagai seorang pegawai pemeriksa di salah sebuah syarikat swasta yang mengendali projek pembinaan lebuh raya utara-selatan" ujar nya.
"Waktu tu saya diarahkan ke Kelantan bersama 10 orang lagi pegawai pemeriksa yang lain dan kami ditugaskan memeriksa sebuah kawasan hutan di situ. Tugas kami memang tak la susah sangat, hanya sekadar buat pemerhatian kumpul data-data yang diperlukan je" kata nya.
Menurut Amir, untuk masuk ke dalam kawasan hutan yang akan mereka periksa. Kenderaan mereka pula harus ditinggalkan di kawasan ladang sawit dan mereka harus berjalan kaki kira-kira 5 jam perjalanan.
Meneruskan lagi ceritanya, pada mulanya tidak ada sebarang perkara pelik yang berlaku disepanjang perjalanan mereka kerana waktu itu masih siang. Menurut Amir lagi, mereka memulakan perjalanan seawal pagi.
"Jika mengikut aturan jadual, kami bertolak pagi dan akan sampai ke tempat yang kami tuju atau kami panggil 'point' tu pada waktu tengah hari. Kami akan pulang pada waktu petang, kerana bahaya kalau berjalan keluar dari hutan itu jika hari sudah gelap. Macam-macam boleh jadi" sambung Amir serius.
Menurutnya lagi, setelah mereka sampai ke 'point' mereka terus melakukan kerja-kerja mengikut tugasan masing-masing.
"Kawasan yang perlu kami catatkan seluas lingkungan jarak sejauh 5 kilometer, jadi 2 orang akan mencatat setiap 1 kilometer" ujar Amir lagi.
"Di pendekkan cerita, setelah menyelesaikan tugas kami berkemas dan bergerak keluar mengikut jadual perjalanan kami. Waktu kami nak balik tu lah bermula semuanya" katanya sambil mengerutkan dahi.
Menurut Amir, sewaktu mereka dalam perjalanan pulang, dia berasa hairan kerana sewaktu mereka datang tadi, mereka tak pula ternampak sungai. Tapi kali ni mereka harus pula menyeberangi sungai itu.
"Walaupun cuma anak sungai je, tapi dalam paras peha juga la. Kepala saya ligat berfikir, mana datang sungai ni. Tadi tak ada" ujar Amir.
"Selepas kami menyeberangi sungai tu, kami teruskan perjalanan. Saya tersa macam ada sesuatu yang tak kena sebab kami masih tak juga jumpa jalan keluar dari hutan tu. Hari makin gelap dan saya terasa yang kami dah berjalan berjam-jam. Pada masa tulah kami semua tersedar yang kami mungkin dah tersesat" ujar Amir sambil menggeleng-geleng kan kepalanya.
"Oleh sebab hari dah bertambah gelap dan kami pun memang dah cukup penat berjalan dari tadi. Kami mengambil keputusan untuk berhenti berehat saja untuk malam tu. Bayangkan hutan tu dah la besar, mana la tahu kalau ada harimau atau beruang" kata Amir.
Pagi itu mereka memulakan kembali perjalanan mereka. "Ada diantara kami berfikir yang kami dah kena kacau penunggu hutan ni, sebab sampai sekarang masih belum jumpa jalan keluar. Saya juga berfikiran yang sama, tapi masih kurang yakin tentang benda-benda macam ni" ujarnya lagi.
"Setelah lama berjalan, saya masih tak mahu percaya yang kami memang telah diganggu makhluk halus ni. Tiba-tiba saya teringat yang saya ada bawak kompas. Jadi cepat-cepat saya keluarkan" sambungnya lagi.
Alangkah terkejut nya dia apabila jarum kompas yang sepatutnya  menunjukkan arah Utara itu berpusing dengan ligat.
"Terkejut saya, mereka yang lain pun sama. Waktu tu tak semena-mena peluh menitik jatuh dari dahi saya, jantung saya berdegup kencang dan perasaan takut mula menyelubungi saya" ujarnya lagi.
DAH SAH!!
"Memang kami dah kena kacau" bisik hati nya.
Menurut Amir, perasaan lapar dan dahaga memang tak boleh di nafikan lagi. Kami dah kehabisan bekalan makanan waktu tu, kami tak menjangka akan ditimpa musibah begini. Akhirnya mereka bermalam untuk satu lagi malam di dalam hutan tebal itu.
"Kami dah penat sangat waktu tu, ada diantara kami yang dah tak mampu untuk meneruskan lagi perjalanan. Seperti benda yang menganggu kami itu saja mempermainkan kami dan memang tak mahu kami jumpa jalan keluar" ujar amir.
"Pada malam tu, saya pun dah hampir nak putus harapan untuk keluar dari sini. Saya hanya mampu bertawakal pada tuhan dan bibir saya ni tak berhenti-henti berzikir dan meminta pertolongan dari yang esa. Akhirnya saya cuba lelapkan mata untuk hilangkan resah hati" sambungnya lagi.
Akhirnya dia terlelap.
ALLAH MAHA BESAR!!
ALLAH MAHA BESAR!!
Itulah perkataan yang berkali-kali disebutnya tatkala dia terkejut dari tidur nya. Menurut Amir dia bermimpi ada lembaga besar yang cuba menghempapnya, dia cuba meronta-ronta untuk melepaskan diri tapi tidak berdaya. Tatkala itu la ada seorang lelaki berjubah datang dan memukul lembaga besar itu. Sejurus itu dia terus terjaga dari lena nya.
"Selepas itu saya terus cepat-cepat menyambung zikir saya. Rakan-rakan yang lain masih tidur kerana kepenatan, dan di dalam keadaan takut itu saya hanya mampu berserah pada tuhan apa pun yang terjadi saya hanya serahkan seluruh nya pada yang esa.
"Saya tak pasti mungkin waktu itu sudah hampir subuh dan habis je saya berzikir badan saya menjadi seram sejuk. Tiba-tiba telinga saya terdengar sayup-sayup suara azan berkumandang, serta merta suara itu seperti memberi saya satu tenaga tambahan untuk saya berdiri menghadap arah suara azan itu.
"Seperti terpukau dalam sedar dan di dalam kegelapan itu saya melangkah terus kehadapan mengikut seruan itu. Memang tuhan itu maha mendengar dan menentukan segala yang berlaku dan segalanya mengikut kemahuannya. Habis je suara azan itu tiba-tiba saya terdengar bunyi yang cukup saya kenal dan bunyi itu membuat saya tersenyum dan hampir menitiskan air mata syukur kerana bunyi yang saya dengar itu adalah bunyi lori hantu yang sedang melalui kawasan itu" sambungnya dengan panjang lebar.
Menurut Amir, rupa-rupanya mereka tidak tersesat jauh. Tapi hanya beberapa ratus meter sahaja dari jalan utama bagi lori-lori yang sering digunakan di ladang sawit berhampiran dan akhirnya mereka berjaya diselamatkan oleh pekerja-pekerja ladang itu dan setelah semua selesai mereka pulang ke Kuala Lumpur.
Menurut Amir sampai sekarang mereka tidak pernah melupakan kejadian itu. Katanya lagi, semenjak kejadian itu setiap kali dia mendengar azan berkumandang dia akan bergegas ke masjid atau surau berdekatan.

No comments:

Post a Comment